#4654: Hikmah Pengulangan Ayat al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan apakah hikmah pengulangan ayat al-Quran. Sebagai contoh dalam surah al-Mursalat “(وَيۡلٌ يَوۡمَٮِٕذٍ لِّلۡمُكَذِّبِينَ)”

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam surah al-Mursalat, Allah SWT sering mengulangi satu ayat ini sebanyak beberapa kali sebagaimana firman-Nya:

وَيۡلٌ يَوۡمَٮِٕذٍ لِّلۡمُكَذِّبِينَ

Maksudnya: “Celakalah pada hari itu bagi mereka yang mendustakannya.”

(Surah al-Mursalat: 28)

Menjawab persoalan di atas, pengulangan ayat merupakan satu situasi yang biasa berlaku dalam semua bahasa yang dipertuturkan. Pengulangan wujud dalam semua bahasa di dunia untuk sesuatu tujuan sama ada sebagai peringatan, ancaman atau sesuatu perkara yang penting. Tanpa pengulangan dikhuatiri sesuatu perkara itu dilupakan sehingga terus ditinggalkan tanpa dilakukan.

Gaya bahasa pengulangan dalam al-Quran merupakan satu bentuk huraian yang mengandungi unsur al-i‘jaz  (mukjizat) yang menunjukkan kepada kekuasaan Allah SWT. Ia banyak digunakan dalam ayat-ayat makkiyyah berbanding ayat madaniyyah. Para orientalis dan mereka yang sealiran dengan mereka mendakwa bahawa gaya bahasa ini sebagai sesuatu yang tidak berfaedah dan merosakkan kredibiliti Kalam Allah.  (Lihat Dirasat Quraniyyah, hlm. 245)

Sayyid Qutb menyatakan, pengulangan ayat dalam al-Quran hakikatnya bukanlah pengulangan kerana tiada pengulangan kisah al-Quran dalam bentuk yang sama melainkan terdapat aspek baharu yang disampaikan. (Lihat Fi Zilal al- Quran, 1/55)

Al-Qurtubi menyatakan, pengulangan (وَيۡلٌ يَوۡمَٮِٕذٍ لِّلۡمُكَذِّبِينَ) sebanyak 10 kali dalam surah ini bukanlah ulangan, tetapi sebagai peringatan atas setiap firman Allah SWT yang datang sesudahnya berupa ancaman-ancaman Allah SWT dalam pelbagai mesej. Selain itu, pengulangan juga adalah budaya bangsa Arab untuk memberi peringatan baik atau ancaman. Ia telah dibincangkan dalam tafsiran Surah al-Mursalat sebelum ini. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 19/158; Tafsir al-Bayan, 6/309)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”