#4656: Sebab Turunnya Ayat 1 dan 2 Surah ‘Abasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah sebab turunnya ayat 1-2 Surah ‘Abasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلْأَعْمَىٰ

Maksudnya: “Dia berkerut dahi memasamkan muka dan berpaling. Ketika datang kepadanya seorang lelaki buta.”

(Surah ‘Abasa: 1-2)

Menjawab persoalan di atas, sebab turunnya ayat ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

 أُنْزِلَ: (عَبَسَ وَتَوَلَّى) [عبس: 1] فِي ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ الأَعْمَى، أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ يَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرْشِدْنِي، وَعِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ مِنْ عُظَمَاءِ الـمُشْرِكِينَ، فَجَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْرِضُ عَنْهُ وَيُقْبِلُ عَلَى الآخَرِ، وَيَقُولُ: «أَتَرَى بِمَا أَقُولُ بَأْسًا؟» فَيَقُولُ: لَا، فَفِي هَذَا أُنْزِلَ.

Maksudnya: “Diturunkan عَبَسَ وَتَوَلَّى disebabkan Ibn Ummi Maktum R.A, seorang sahabat yang buta, telah datang bertemu Rasulullah SAW. Beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah berilah kepadaku petunjuk.’ Ketika itu, para pembesar musyrikin ada di sisi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak menoleh ke arahnya dan terus menghadap para pembesar musyrikin tersebut. Baginda SAW bersabda: ‘Pada pandanganmu, adakah apa yang aku katakan ini suatu yang salah?’ Beliau berkata: ‘Tidak.’ Maka diturunkan ayat tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (3331). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini adalah hadith gharib. Muhammad Ali Nasr menyatakan bahawa sanadnya sahih berdasarkan syarat al-Syaikhain.

Ulama tafsir menyebutkan bahawa Rasulullah SAW di suatu hari sedang berbicara dengan salah seorang pembesar Quraisy; seorang yang Baginda sangat inginkan agar beliau memeluk Islam. Ketika Baginda SAW sedang berbicara dengan suara yang perlahan dengan orang Quraisy itu, tiba-tiba datanglah Ibn Ummi Maktum, salah seorang sahabat yang telah masuk Islam sekian lama. Kemudian Ibn Ummi Maktum bertanya kepada Rasulullah SAW sesuatu pertanyaan dengan mendesak. Nabi SAW pada saat itu sangat menginginkan andai kata Ibn Ummi Maktum diam dan tidak mengganggunya, agar Baginda dapat berbicara dengan tetamunya dari Quraisy itu kerana Baginda sangat menginginkannya mendapat hidayah. Oleh sebab itulah, maka Baginda bermuka masam terhadap Ibn Ummi Maktum dan memalingkan wajah beliau daripadanya serta hanya melayani tetamunya dari Quraisy itu. Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya sebagaimana berikut.

Nabi Muhammad SAW bermuka masam dan berpaling kerana telah datang seorang buta kepadanya. Lalu Allah menegur adakah Baginda SAW tahu barangkali Ibn Ummi Maktum ingin membersihkan dirinya daripada dosa atau dia ingin mendapatkan pengajaran yang memberi manfaat kepadanya sehingga dia menahan dirinya daripada hal-hal yang diharamkan.

Adapun pembesar Quraisy yang mendapat perhatian Nabi SAW ketika itu merupakan seorang yang serba cukup, dan Nabi melayaninya dengan harapan agar beliau mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Satu perkara yang perlu disedari oleh Baginda bahawa tiada sebarang celaan ke atas diri Baginda jika pembesar Quraisy itu tidak membersihkan dirinya iaitu dengan tidak beriman, kerana tugas Baginda hanyalah menyampaikan dakwah dan bukannya memberi hidayah. Adapun orang yang datang kepada Baginda dengan keadaan bersegera untuk mendapatkan pengajaran, sedangkan dia takut kepada Allah SWT, Baginda telah mengabaikannya.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/348)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”