#4657: Mereka yang Menghimpunkan al-Quran pada Zaman Nabi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Siapakah yang menulis dan menghimpunkan al-Quran pada zaman Nabi SAW? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ‎

Maksudnya:Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

(Surah al-Hijr: 9)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, al-Zikr adalah al-Quran. Beliau menyebutkan lagi, Allah SWT sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami‘ al-Bayan, 17/68).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitab sahihnya beberapa nama sahabat yang menulis dan menghimpunkan al-Quran pada zaman Nabi SAW. Di antaranya ialah Ubai bin Ka‘b, Mu‘az bin Jabal, Zaid bin Thabit, Abu Zaid dan Abu al-Darda’.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Qatadah yang bertanya kepada Anas bin Malik R.A: “Siapakah yang mengumpulkan al-Quran pada zaman Nabi SAW?” Beliau menjawab:

أَرْبَعَةٌ، كُلُّهُمْ مِنَ الأَنْصَارِ: أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ، وَمُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ، وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ، وَأَبُو زَيْدٍ

Maksudnya: “Empat orang, semuanya daripada kaum Ansar, iaitu Ubai bin Ka‘b, Mu‘az bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zaid.”

Riwayat al-Bukhari (5003)

Begitu juga riwayat yang lain, juga daripada Anas bin Malik, katanya:

مَاتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَجْمَعِ القُرْآنَ غَيْرُ أَرْبَعَةٍ: أَبُو الدَّرْدَاءِ، وَمُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ، وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ، وَأَبُو زَيْدٍ. قَالَ: وَنَحْنُ وَرِثْنَاهُ

Maksudnya: “Nabi SAW wafat dan tidak ada yang mengumpulkan al-Quran selain empat orang, iaitu Abu al-Darda’, Mu‘az bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zaid.” Anas berkata: “Dan kami mewarisinya daripada Abu Zaid.

Riwayat al-Bukhari (5004)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”