#4667: Pernahkah Nabi SAW Menangis Mendengar Bacaan al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Pernahkah Nabi SAW menangis ketika mendengar bacaan al-Quran? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَٰنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا

Maksudnya: Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

(Surah Maryam: 58)

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka‘ab al-Qurazi, katanya: Aku mendengar daripada Abdullah bin Mas‘ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”

 Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu, Rasulullah SAW turut mengkhabarkan bahawa al-Quran boleh memberi syafaat kepada pembacanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A bahawa Baginda bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.

Riwayat Muslim (804)

Selain daripada itu, firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ‎

Maksudnya: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ianya serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

(Surah al-A‘raf: 204)

Imam al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan, fokuskanlah pendengaran kamu kepadanya (bacaan al-Quran) supaya kamu dapat memahami ayat-ayatnya serta mengambil ibrah dengan peringatan-peringatannya. Dan diamlah kamu supaya kamu dapat berfikir serta mentadabburinya. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan merahmati kamu disebabkan kamu mengambil perhatian akan peringatannya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 13/345).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, Nabi SAW pernah menangis ketika mendengar bacaan al-Quran.

Hal ini jelas sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas‘ud, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَأْ عَلَيَّ. قَالَ: قُلْتُ: أَقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ؟ قَالَ: «إِنِّي أَشْتَهِي أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِي. قَالَ: فَقَرَأْتُ النِّسَاءَ حَتَّى إِذَا بَلَغْتُ: {فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَـٰؤُلَاءِ شَهِيدًا} قَالَ لِي: كُفَّ – أَوْ: أَمْسِكْ – فَرَأَيْتُ عَيْنَيْهِ تَذْرِفَانِ

Maksudnya: “Bacalah kepadaku ayat-ayat al-Quran.” Abdullah berkata: Aku berkata: “Adakah aku yang membacakan kepada engkau, sedangkan kepada engkau ia diturunkan?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku suka mendengarnya daripada orang lain.” Abdullah berkata: “Lalu aku membaca surah al-Nisa’ sehingga apabila aku sampai pada ayat: {فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَـٰؤُلَاءِ شَهِيدًا} [Maksudnya: “Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?”] [Surah al-Nisa’: 41].” Baginda bersabda kepadaku: “Cukuplah – atau berhentilah –” Lalu aku melihat kedua-dua matanya (Baginda) menitiskan air mata.

 Riwayat al-Bukhari (5055)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”