#4669: Dinding Yakjuj dan Makjuj Telah Terlubang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah pada zaman Nabi SAW telah berlaku lubangan pada dinding Yakjuj wa Makjuj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan maksud Yakjuj wa Makjuj.

Para ulama’ bahasa telah khilaf berkenaan dengan perkataan “يأجوج ومأجوج”. Apakah kedua-duanya musytaq atau nama ‘ajam?

Pendapat pertama ia adalah isytiqaq. Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab menukilkan pandangan mereka yang isytiqaq kedua-duanya dari Bahasa Arab dari perkataan (أجَّتِ النار) membuat-buat api atau dari perkataan (الماء الأجاج) daripada air yang sangat masin. (Lihat Lisan al-Arab, 2/207)

Perkataan Ya’juj atas wazan (يفعول) dan Ma’juj pula atas wazan (مفعول). Ia seolah-olah api yang menggelegak dan membara. Ini menggambarkan seolah-olah gerakan mereka tiada siapa yang mampu menahannya.

Ini jika kedua nama ini daripada Bahasa Arab. Tetapi sebaliknya, jika daripada Bahasa Ajam, maka tiada musytaq.

Pendapat yang sama yang menganggap musytaq disebut oleh al-Raghib al-Asfahani. (Lihat al-Mufradat, hlm. 10)

Pengarang kitab Asyrat al-Sa’ah berkata: Ya’juj dan Ma’juj berasal dari bahasa Arab. Ya’juj yang berakar kata “ujaj” (أُجَاجٌ) yang berarti mengering kemudian mengeras, dan satu lagi dari kata “al-ajj” (الْأَجُّ) yang artinya ketika musuh datang dengan cepat sekali, sedangkan Ma`juj berasal dari kata “maaja” (مَاجَ) yang berarti goncang.

Menurut Abu Hatim pula, ma’juj berasal dari maaja, iaitu kekacauan. Ma’juj berasal dari mu’juj, iaitu malaja. Namun, menurut pendapat yang sahih, Ya’juj dan Ma’juj bukan isim musytaq, melainkan isim ‘ajam dan laqab (gelaran). Setiap dari akar kata ini memiliki kesesuaian dengan sifat kaum Ya`juj dan Ma`juj tersebut. (Lihat Asyrath al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 365-366)

Pendapat yang rajih adalah ia bukan musytaq tetapi bahasa ‘ajam dan termasuk dalam “ممنوع من الصرف” kerana sifat ‘alamiyah dan ‘ajamnya. Inilah pendapat yang kuat kerana dua qabilah tersebut telah wujud sebelum orang arab.

Abu al-Kalam Azad pula menyatakan bahawa perkataan Ya’juj dan Ma’juj berasal daripada bahasa Ibrani, dan pada asalnya ia adalah bahasa asing. Masyarakat Yunan menyebutnya sebagai Gog dan Magog.

Para ulama’ berpendapat, memang benar telah berlaku lubangan pada dinding Yakjuj wa Makjuj. Hal ini berdasarkan hadith sahih riwayat al-Bukhari.

Daripada Zainab binti Jahsy R.Anhunna, bahawa Rasulullah SAW masuk menemuinya pada suatu hari dalam keadaan cemas sambil mengucapkan:

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ»، وَحَلَّقَ بِإِصْبَعَيْهِ الْإِبْـهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا. قَالَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَنَهْلِكُ وَفِينَا الْصَّالِـحُونَ؟ قَالَ: «نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْـخُبْثُ».

Maksudnya: “Tidak ada tuhan kecuali Allah. Celakalah bangsa Arab dengan kejahatan yang sedang mendekat. Sudah terbuka pada hari ini tembok Ya’juj dan Ma’juj seperti ini.” Lalu Baginda membuat bentuk lingkaran menggunakan ibu jarinya dan jari sesudahnya (jari telunjuk). Zainab binti Jahsy berkata: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan dalam kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Baginda bersabda: “Ya, apabila kejahatan sudah bermaharajalela.”

Riwayat al-Bukhari (7135)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”