Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sebenarnya zina mata itu boleh berlaku?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebagai seorang muslim, hendaklah kita tahu bahawa mata atau pandangan ini merupakan salah satu nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita, dalam masa yang sama ia merupakan satu bentuk ujian. Allah SWT berfirman:

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنْشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلاً مَا تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur’.”

(Surah al-Mulk: 23)

Setiap hamba itu bertanggungjawab dihadapan Allah SWT terhadap apa yang dia lihat dengan nikmat penglihatan mata yang diberikan kepadanya pada hari akhirat kelak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

(Surah al-Isra’: 36)

Seperti yang kita ketahui, zina mata itu terhasil melalui pandangan. Ini thabit dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنَ الزِّنَا، مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ، فَالعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ

Maksudnya: “Telah ditetapkan bagi setiap anak Adam bahagian mereka daripada zina yang tidak dapat dielakkan. Zina mata adalah dengan melihat.”

Riwayat al-Bukhari (6243) dan Muslim (2657)

Oleh yang demikian, perbuatan mendedahkan aurat itu berdosa, kerana ianya jelas sekali boleh mendatangkan keinginan yang menjurus ke arah syahwat dan perbuatan zina itu sendiri. Maka Allah SWT berfirman di dalam al-Kitab:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ (٣٠) وَقُل لِّلْمُؤْمِنَـٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَـٰرِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

(Surah al-Nur: 30-31)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)

Melihat kepada peredaran zaman yang terkadang sukar untuk kita mengelak dari terlihat kepada aurat orang lain, seperti di dalam iklan-iklan, di pasaraya, di taman-taman dan sebagainya, maka syara‘ tidaklah bertindak menghukum secara terus sebagai dosa hanya kerana pandangan pertama sahaja. Tetapi dosa itu disignifikasikan dengan pandangan kedua yang tujuannya adalah untuk merenung perkara yang diharamkan oleh syara‘ itu.

Diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ

Maksudnya: “Wahai Ali! Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua.”

Riwayat Abu Dawud (2149)

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menegur ‘Ali R.A yang merupakan salah seorang dari 4 Khulafa’ al-Rasyidun dan juga salah seorang yang dijanjikan Syurga. Maka janganlah kita sesekali menipu diri sendiri dengan mengatakan bahawa pandangan kedua kita itu terselamat dari kemudharatan dan bukan kerana syahwat.

Kesimpulan

Kami menasihatkan agar kita sama-sama dapat memelihara pandangan mata kita dari melihat perkara yang diharamkan oleh syara‘. Semoga di akhirat kelak mata-mata kita ini akan menjadi saksi tentang amalan kebaikan yang kita lakukan, dan bukan sebaliknya menjadi hujjah ke atas kita atas dosa kemaksiatan yang kita kerjakan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam