#4677: Faedah Gunakan Dhamir Ghaib Dalam Surah ‘Abasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa dalam surah ‘Abasa digunakan dhamir ghaib dan tidak ditujukan kepada Nabi SAW secara terus?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلْأَعْمَىٰ

Maksudnya: “Dia berkerut dahi memasamkan muka dan berpaling. Ketika datang kepadanya seorang lelaki buta.”

(Surah ‘Abasa: 1-2)

Pada ayat ini Allah SWT menasihati Nabi SAW sebagaimana firman-Nya: (عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ) “Dia (Nabi Muhammad SAW) berkerut dahi memasamkan muka dan berpaling.” Di sini, Allah SWT menggunakan dhamir ghaib (kata ganti nama ketiga). Allah tatkala menegur Nabi SAW dengan penurunan ayat ini, Allah tidak berkata: (عَبْسْتَ وَتَوَلَّيْتَ) “Engkau berkerut dahi memasamkan muka dan engkau berpaling,” dengan dhamir mukhatab (kata ganti nama kedua), walaupun adalah lebih tepat dalam situasi biasa jika Allah SWT berkata demikian kerana Allah SWT memberi peringatan terus kepada Nabi SAW.

Menurut pandangan ulama, terdapat beberapa faedah mengapakah Allah SWT menggunakan dhamir ghaib pada ayat ini:

  • Pertama: Menurut al-Alusi dan Ibn ‘Asyur, Allah SWT tidak memberi penyataan yang keras dan langsung kepada Nabi SAW, kerana jikalau Allah menggunakan ayat (عَبْسْتَ وَتَوَلَّيْتَ), maka nasihat yang diturunkan ke atas Nabi SAW bersifat keras. Jadi, penggunaan dhamir ghaib adalah kerana Allah SWT memuliakan Nabi SAW dan ia adalah adab Allah SWT menegur Nabi-Nya kerana Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya yang paling dikasihi dan paling mulia disisi-Nya. Allah SWT menegur Baginda dengan kata kiasan agar nasihat yang sampai kepada Baginda bersifat lembut dan Baginda sedar akan kesalahan Baginda serta tidak mengulanginya lagi. Inilah merupakan adab Allah SWT dengan Nabi-Nya. (Lihat Ruh al-Ma‘ani fi Tafsir al-Quran al-‘Azim wa al-Sab‘ al-Mathani, 15/242)

Begitulah bagaimana Allah SWT menegur kekasihnya Muhammad bin Abdullah SAW agar ia disampaikan dalam bentuk yang lebih ringan dan mudah diterima oleh Baginda dalam bentuk beransur dan berperingkat.

  • Kedua: Menurut al-‘Uthaimin, Allah SWT menggunakan dhamir ghaib agar ayat ini dijadikan sebagai peringatan kepada umatnya secara umum. Walaupun ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW, namun peringatan yang disampaikan adalah kepada seluruh manusia. Juga supaya perkara ini tidak lagi diulangi oleh Nabi SAW di masa akan datang.

Setelah kejadian ini Allah SWT memerintahkan kepada Rasul-Nya agar tidak mengkhususkan peringatan terhadap seseorang secara tertentu, bahkan harus melayan semua orang secara saksama. Dalam hal ini tidak dibezakan antara orang yang mulia dan orang yang lemah, orang yang miskin dan orang yang kaya, orang merdeka dan hamba-hamba, laki-laki dan wanita, serta anak-anak dan orang dewasa. Kemudian Allah-lah yang akan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus dengan keputusan yang ditetapkan-Nya yang penuh dengan kebijaksanaan dan alasan yang sangat kuat. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 30/61)

Al-Thauri berkata: Sejak daripada hari yang diwahyukan itu, Rasulullah SAW tidak pernah lupa untuk memuliakan Ibn Ummi Maktum. Apabila beliau datang, Baginda SAW akan mengalu-alukan kehadiran beliau dengan berkata: (مَرحَبًا بِمَن عَاتَبَنِي فِيهِ رَبِّي) “Selamat datang yang kerananya Tuhanku menegurku.” Baginda juga selalu bertanya kepada beliau: (هَل لَكَ مِن حَاجَة) “Adakah bagimu sebarang hajat?” Rasulullah SAW juga sempat dua kali menugaskan beliau memegang panji Islam semasa peperangan. Anas R.A berkata: “Pada peristiwa Qadisiyyah, aku melihat Ibn Ummi Maktum memakai baju besi dan di tangannya bendera hitam. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 19/213)

Begitulah Nabi SAW memuliakan beliau selepas daripada peristiwa Allah SWT menegur Baginda SAW dengan penurunan ayat ini. Allah mengingatkan kepada Nabi Muhammad SAW agar sekali-kali tidak berbuat demikian kerana sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan untuk semua orang tanpa dibezakan antara orang yang terhormat dan rakyat biasa daripada kalangan mereka yang menginginkannya. Sesiapa yang menghendaki, dia dapat mengingati Allah SWT dalam semua urusannya.

Al-Quran keseluruhannya terkandung dalam kitab yang diagungkan dan dimuliakan serta disucikan daripada hal yang kotor, penambahan, dan pengurangan. Bahkan ia terselamat dan terjaga pada tangan para penulis. Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, al-Dahhak dan Ibn Zaid, yang dimaksudkan dengan para penulis adalah golongan malaikat yang mulia lagi berbakti, terhormat, berakhlak suci dan sempurna. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/349-350)

Maka bertitik tolak daripada tafsiran ini, orang yang benar-benar menghafal al-Quran dan menghayati ajarannya berada dalam jalan yang lurus dan benar dalam semua perbuatan dan ucapannya.

Daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَؤُهُ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: “Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan dia pandai membacanya akan dihimpunkan bersama dengan para malaikat yang membawa risalah, mulia lagi patuh. Adapun orang yang membacanya dengan susah payah maka dia mendapat dua pahala.”

Riwayat Ahmad (24211). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan bahawa sanadnya sahih berdasarkan syarat al-Syaikhain.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”