#4678: Darwinisme dan Kejadian Manusia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kaitan antara teori Darwinisme dan kejadian manusia? Adakah benar teori tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْإِنسَـٰنُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ ٱلْكَرِيمِ ٦ ٱلَّذِى خَلَقَكَ فَسَوَّىٰكَ فَعَدَلَكَ ٧ فِىٓ أَىِّ صُورَةٍۢ مَّا شَآءَ رَكَّبَكَ ٨ كَلَّا بَلْ تُكَذِّبُونَ بِٱلدِّينِ

Maksudnya: “Wahai manusia! Apa yang menyebabkan engkau terpedaya lalu ingkar terhadap Tuhanmu Yang Maha Mulia. Tuhan yang menciptakanmu lalu Dia menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan kejadianmu seimbang. Dia menyusun kejadianmu dalam apa jua bentuk dan rupa yang Dia kehendaki. Tidak sama sekali seperti mana kalian terpedaya. Bahkan sebenarnya kalian mengingkari adanya hari pembalasan.”

(Surah al-Infitar: 6-9)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan: “Wahai manusia yang pasti akan bertemu pengakhiran alam, apa yang menipu engkau serta menjadikan engkau tergamak menderhakai Tuhan engkau Yang Maha Mulia, yang telah memberikan kepada engkau di dunia? Sedangkan Dia menjadikan engkau daripada setitis mani selepas tiada. Serta menjadikan engkau saksama dan teguh, berperawakan tegap dalam bentuk dan rupa yang terbaik, dengan anggota badan yang sesuai, dibekalkan dengan pancaindera seperti pendengaran, penglihatan dan kemampuan akal dan kefahaman?” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 30/470)

Allah SWT juga yang menjadikan manusia dalam bentuk yang dikehendakiNya dan dipilihNya bagi mereka dengan bentuk yang cantik dan mengagumkan, serta Dia tidak menjadikan manusia dalam bentuk seperti binatang. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/524-528)

Wahai golongan kafir, perkara itu bukan sebagaimana yang kamu katakan iaitu kamu berada di pihak yang benar dengan sembahan kamu kepada selain daripada Allah SWT. Tetapi kamu mendustakan pahala dan dosa, juga pembalasan dan hisab. (Lihat Tafsir al-Tabari, 7/475)

Darwinisme dan Kejadian Manusia

Konflik dan kontroversi utama yang paling rancak diperdebat dalam teori evolusi adalah berkaitan proses kejadian manusia. Masyarakat hari ini, khususnya yang berpengetahuan dalam bidang agama tidak menentang teori evolusi atas alasan tidak percaya organisma unisel boleh berevolusi menjadi seekor kambing, tetapi mereka menolak teori ini kerana mengatakan manusia adalah hasil evolusi primat (monyet).

Walau bagaimanapun, setelah berpuluh tahun sistem pendidikan sains dan biologi didoktrinkan oleh orang barat, teori ini semakin diterima muslim. Satu tinjauan yang dijalankan oleh Pew Research Centre pada April 2013 terhadap muslim di 22 buah negara mendapati 53% daripada mereka percaya bahawa manusia adalah hasil proses evolusi menurut Pew Report dalam tahun 2013.

Perkara ini amat merisaukan kerana mengakui bahawa manusia adalah hasil daripada evolusi adalah menyalahi akidah umat Islam kerana jelas bertentangan dengan apa yang diceritakan dalam al-Quran. Di dalam surah Sad, ayat 71-76, Allah SWT berfirman tentang bagaimana Nabi Adam A.S yakni manusia yang pertama dicipta daripada tanah, jelas menunjukkan bahawa manusia bukanlah terhasil daripada proses evolusi seperti yang didakwa oleh saintis barat yang menerima teori evolusi dan pemilihan semulajadi. Malah dalam beberapa ayat al-Quran, Allah SWT berfirman berulang-ulang kali bahawasanya Allah SWT yang mencipta manusia dengan sempurna.

Dalam ilmu embriologi, manusia disamakan dengan makhluk lain kerana perkembangan embrio yang sama sahaja rupanya dengan makhluk bertulang belakang lain. Pengetahuan embriologi ini juga merupakan salah satu asas dalam pembinaan pohon leluhur kehidupan. Hubungkait manusia dengan makhluk lain dapat diperhatikan daripada ayat-ayat pertama ketika al-Quran diturunkan. Kejadian manusia yang berbentuk sama seperti makhluk lain di awal mulanya sebenarnya tidak bercanggah dengan firman Allah SWT.

Nyatalah di sini Allah SWT menegaskan bahawa manusia dalam perkembangannya yang pada mula yang seperti lintah itu berkembang dalam bentuk yang lain dan dengan sifat yang berbeza. Inilah titik tolak beza manusia yang sangat ketara secara fizikal mahupun antomi jika tidak dikirakan elemen rohaniahnya. Secara mutlak, Allah SWT telah meletakkan garis pemisahan antara manusia dan makhluk lain. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/375-376)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami