Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah fitnah itu boleh merosakkan akidah seseorang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُوا۟ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا۟ فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ ٱلْحَرِيقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyeksa orang-orang beriman lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab neraka Jahannam dan bagi mereka juga azab yang membakar.”
(Surah al-Buruj: 10)
Dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan pula tentang akibat yang akan diterima oleh orang-orang kafir yang telah menindas dan memfitnah kaum yang beriman itu. Bagaimana besarnya kekuasaan mereka di dunia ini, mereka akan tetap hina di hadapan Allah SWT disebabkan perbuatan mereka kepada orang-orang beriman, sama ada dalam bentuk penindasan, fitnah, seksaan atau berbagai ragam kesusahan yang lainnya, baik laki-laki ataupun perempuan. Kemudian, mereka tidak bertaubat dan tidak ada sedikitpun penyesalan dalam hati mereka atas perbuatan yang kejam itu. Lalu Allah akan membalas kekejaman mereka kepada orang yang beriman itu dengan seksaan yang berlipat ganda. Jika dahulu mereka telah menggali lubang untuk menyeksa orang yang beriman, dengan membakar mereka di dalamnya, maka azab seksa yang akan dihadapi oleh mereka dalam neraka Jahannam juga dalam bentuk pembakaran jua. (Lihat Tafsir al-Azhar, 10/7950)
Fitnah Merosakkan Akidah Umat Islam
Akhir-akhir ini, negara kita dilanda dengan pelbagai berita yang belum dipastikan akan kesahihannya di media sosial. Perkara ini amat membimbangkan kerana ia mampu memecah-belahkan perpaduan sesama manusia secara umumnya dan umat Islam itu sendiri secara khususnya. Justeru, umat Islam diminta berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan berita berupa fitnah ini. Perkara ini diberi perhatian berat oleh agama. Oleh itu, agama kita telah menggariskan beberapa panduan kepada kita dalam berinteraksi dengan perkara sebegini.
Dalam masyarakat Melayu, perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. Ia seperti yang diterangkan oleh al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta‘rifat iaitu sesuatu yang dapat menjelaskan peribadi manusia. Jelasnya perbuatan ini diharamkan oleh syariat dan dikecam dengan keras oleh Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ
Maksudnya: “Orang yang mengadu domba tidak masuk syurga.”
Riwayat Muslim (168)
Walau bagaimanapun, pemakaian kata ‘fitnah’ dalam al-Quran pula membawa makna (الاِبْـتِلاَءُ والامْتِحَانُ) yakni ujian dan dugaan, serta diluaskan maknanya kepada kesesatan dan dosa, kesyirikan dan kekufuran. Fitnah dengan pengertian ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW memberikan petanda hampirnya hari kiamat. Daripada Abu Musa R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ بَيْنَ يَدَيْ السَّاعَةِ فِتَـنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ. يُصْبِحُ الرَّجُلُ فِيهَا مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا. وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا. الْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنْ الْقَائِمِ، وَالْمَاشِي فِيهَا خَيْرٌ مِنْ السَّاعِي. فَكَسِّرُوا قِسِيَّكُمْ وَقَطِّعُوا أَوْتَارَكُمْ وَاضْرِبُوا سُيُوفَكُمْ بِالْحِجَارَةِ. فَإِنْ دُخِلَ يَعْنِي عَلَى أَحَدٍ مِنْكُمْ فَلْيَكُنْ كَخَيْرِ ابْنَيْ آدَمَ.
Maksudnya: “Sesungguhnya menjelang kiamat nanti ada fitnah-fitnah seperti malam yang gelap. Seseorang itu beriman pada waktu pagi tetapi menjadi kufur pada waktu petang. Sebaliknya pada waktu petang seseorang itu dalam keadaan beriman, namun pada waktu pagi esoknya dia dalam keadaan kufur. Pada waktu itu, orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang yang berjalan cepat. Maka, patahkanlah busur kamu, putuskanlah tali kamu dan pukullah pedang kamu di batu. Jika salah seorang daripada kamu menemui fitnah-fitnah ini, hendaklah dia menjadi insan yang baik seperti anak terbaik di antara dua anak Adam.”
Riwayat Ahmad (19730). Syeikh al-Arnaut menyatakan bahawa hadith ini sahih li ghairih
Dalam riwayat di atas, Rasulullah SAW memberikan peringatan kepada umatnya agar sentiasa berwaspada dengan fitnah yang menggoncang keimanan mereka. Gambaran fitnah laksana malam yang amat gelap itu menunjukkan betapa berat dan bahayanya fitnah tersebut. Ini merupakan suatu peringatan penting ke atas setiap Muslim agar berhati-hati dengannya. Lebih-lebih lagi, fitnah yang dimaksudkan dengan syirik, kerana dosanya lebih besar daripada pembunuhan, sepertimana firman Allah SWT:
وَٱلْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ ٱلْقَتْلِ ۚ
Maksudnya: “Dan ingatlah bahawa fitnah penindasan terhadap agama Islam itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”
(Surah al-Baqarah: 191)
Menurut Sayyid Qutb, yang dimaksudkan dengan ‘fitnah’ dalam ayat ini ialah fitnah terhadap agama Islam dan umatnya, baik berupa ancaman, tekanan dan keganasan secara fizikal, mahupun berupa sistem yang merosakkan, menyesatkan dan menjauhkan umat manusia daripada sistem Allah SWT. Menurut beliau lagi, sistem komunis dengan ideologi ateis termasuk salah satu contoh fitnah terhadap agama yang boleh diperangi. Begitu juga dengan semua sistem yang menghalang masyarakat daripada melaksanakan tuntutan dan ajaran agama yang diyakini. Justeru, fitnah seperti itulah, menurut Sayyid Qutb adalah lebih berbahaya daripada pembunuhan. Maka, menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk berwaspada dengan bentuk-bentuh fitnah ini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/421-422)
Sebuah hadith yang masyhur sebagaimana hadith Rasulullah SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:
بَادِرُوا بِاْلأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا.
Maksudnya: “Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh (sebelum datangnya) fitnah-fitnah yang bagaikan malam yang gelap-gelita. Seseorang dalam keadaan beriman pada waktu pagi, kemudian menjadi kafir pada waktu petang. Atau dalam keadaan beriman pada waktu petang, kemudian menjadi kafir pada waktu pagi. Dia menjual agamanya dengan kesenangan dunia.”
Riwayat Muslim (118)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”