Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan keistimewaan unta berdasarkan dapatan kajian moden?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى ٱلْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ
Maksudnya: “Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia dicipta?”
(Surah al-Ghasyiyah: 17)
Unta disebut dalam ayat ini kerana ia sudah sebati dalam kehidupan masyarakat Arab. Ditambah lagi, ia juga merupakan haiwan yang paling bernilai di sisi mereka. Demikianlah juga langit, gunung atau bukit dan bumi adalah benda yang sering dilihat oleh masyarakat Arab di mana sahaja mereka berada, maka semua ini dijadikan sebagai bahan dan contoh yang boleh diperhatikan melaluinya kekuasaan Tuhan meskipun tidak wujud sebarang kaitan yang jelas antara setiap satu daripadanya dengan yang lain. (Lihat al-Kassyaf `an Haqa`iq wa Ghawamid al-Tanzil, 4/745)
Mukjizat Saintifik pada Kejadian Unta
Dalam ayat 17 daripada Surah al-Ghasyiyah, Allah SWT menyeru orang kafir untuk memerhatikan kekuasaan-Nya melalui kejadian unta. Hal ini mungkin disebabkan beberapa keistimewaan yang ada pada unta sebagai bahtera padang pasir. Unta telah dicipta dengan fizikal yang mampu hidup dan bertahan di iklim padang pasir. Selain itu, ia mampu bergerak sejauh 50 batu sehari tanpa makan dan minum selama beberapa hari di bawah panas matahari padang pasir. Tambahan lagi, unta juga mampu menanggung beban seberat 1/2 tan dan berjalan dengan bebanan tersebut sejauh 20 batu tanpa henti serta tanpa makan dan minum.
Jika ia makan daripada tumbuh-tumbuhan yang segar dan mengandungi air, ia mampu bertahan tanpa minuman selama hampir sebulan pada musim sejuk. Manakala pada musim panas pula, jika makanan yang diambil adalah tumbuhan kering, maka unta mampu bertahan tanpa air selama seminggu. Di samping itu, ia juga mampu minum air dengan kadar yang cukup banyak tanpa memudaratkan tubuh badannya. Unta juga diberi kelebihan mampu mengawal suhu badannya selari dengan cuaca persekitaran.
Ketika ribut padang pasir, ia mampu menutup hidungnya daripada terdedah kepada pasir dan habuk. Di samping itu, bulu matanya yang panjang mampu melindungi matanya daripada terkena debu padang pasir. Begitu juga, telinganya yang kecil dan ditutupi bulu-bulu yang lebat mampu melindungi lubang telinganya daripada dimasuki debu padang pasir. Selain itu, kaki unta mampu berjalan di atas permukaan lembut dan keras yang membolehkannya bergerak lancar di atas padang pasir. Demikianlah sebahagian daripada keunikan kejadian unta yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT sebagai Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam. Maha suci Allah SWT daripada sebarang kekurangan yang disifatkan oleh golongan yang mengingkari-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/469-470)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”