#4685: Memuliakan Anak Yatim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara memuliakan anak yatim?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di dalam Bahasa Arab, terdapat istilah yang khusus untuk menamakan anak yatim. Al-Yatim (الْيَتِيمُ) dari sudut bahasa membawa maksud tunggal, bersendiri. Telah berkata Ibn al-Sikkit: “Al-Yatim pada manusia adalah mereka yang kehilangan bapa manakala pada binatang pula adalah kehilangan ibu. Tidak dipanggil seseorang yang kehilangan ibu dengan al-Yatim”. (Lihat Lisan al-‘Arab, 12/645)

Ibn Manzur menukilkan maksud yatim daripada Ibn Barriy: “Al-Yatim (الْيَتِيمُ) adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy (العَجِيُّ) bagi kematian ibu manakala al-Latim (اللَّطيم) pula adalah bagi yang kematian keduanya”.

Imam al-Jurjani pula menyebut: Yatim ialah seseorang yang bapanya telah meninggal dunia kerana nafkah adalah di atas tanggungjawab bapa tersebut, bukan atas ibu. Manakala bagi haiwan, yatim adalah apabila kematian ibunya kerana susu dan makanan adalah daripada ibu tersebut. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 254)

Oleh itu, dapat difahami bahawa yatim pada istilah merujuk kepada kanak-kanak yang telah kematian bapa. Dan kanak-kanak tersebut pula belum mencapai usia baligh. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ

Maksudnya: “Tidak dikira yatim setelah daripada baligh.”

Riwayat Abu Dawud (2873)

Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan kenyataan Ibn Ruslan yang menyebut: Apabila anak yatim sama ada lelaki atau perempuan telah mencapai usia baligh di mana mereka telah bermimpi seperti kebanyakan orang, maka hilanglah baginya status keyatiman secara hakikat dan berjalan ke atasnya hukum baligh. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 8/76)

Dalam kitab al-Muhazzab turut dinyatakan: Yatim adalah seorang yang tidak mempunyai bapa dan dia belum baligh. Tidak dinamakan yatim bagi orang yang sudah baligh. (Lihat al-Muhazzab, 2/247)

Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa Islam melihat bahawa anak yatim itu adalah mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh.

Memuliakan Anak Yatim

Firman Allah SWT:

كَلَّا ۖ بَل لَّا تُكْرِمُونَ ٱلْيَتِيمَ

Maksudnya: “Janganlah kamu bersangka demikian. Sebenarnya kalian tidak memuliakan anak yatim.”

(Surah al-Fajr: 17)

Ayat 17 daripada Surah al-Fajr menunjukkan kejinya sikap tidak memuliakan anak-anak yatim. Ia dilihat senada dengan beberapa ayat lain yang terdapat di dalam al-Quran seperti ayat 2 daripada Surah al-Nisa’ yang menyatakan bahawa memakan harta anak yatim adalah satu dosa yang besar. Selain itu, dalam ayat 10 daripada Surah al-Nisa’ pula mengumpamakan orang yang memakan harta anak yatim seperti memasukkan api ke dalam perut mereka. Bukan itu sahaja, dalam ayat 9 daripada Surah al-Dhuha, Allah SWT dengan jelas melarang kita daripada mengherdik anak yatim dan ayat 2 daripada Surah al-Ma‘un, Allah SWT telah menyebut di antara sifat orang yang mendustakan hari akhirat adalah menyekat hak anak yatim. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/482)

Sahl bin Sa‘d R.A meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:

أَنَا وَكَافِلُ اليَتِيمِ فِي الجَنَّةِ هَكَذَا، وَقَالَ بِإِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالوُسْطَى

Maksudnya: “Aku dan penjaga anak yatim begini (sambil Baginda mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya) di dalam syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6005)

Dalam mengulas hadith ini, Ibn Battal berkata: “Menjadi kewajipan setiap orang Mukmin yang mendengar hadith ini untuk berusaha beramal dengannya agar dia menjadi pendamping Nabi SAW dan nabi-nabi A.S yang lain. Tiada kedudukan yang lebih mulia di sisi Allah SWT pada hari akhirat kelak selain menjadi pendamping para nabi A.S.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 9/217)

Imam al-Nawawi mengatakan yang dimaksudkan dengan “له” miliknya adalah ahli keluarga terdekat seperti datuk, ibu, nenek, abang, kakak, bapa saudara, ibu saudara dan ahli keluarga lain yang terdekat. Adapun yang dimaksudkan dengan “لغيره” bukan miliknya adalah orang asing ataupun orang yang tidak mempunyai pertalian keluarga. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/113)

Menurut Syeikh Muhammad Fu’ad  Abd al-Baqi ketika menjelaskan makna hadith ini, yang dimaksudkan dengan “كافل اليتيم” orang yang menjaga anak yatim adalah orang yang menjalankan perkara-perkara yang melibatkan perihal anak yatim tersebut seperti nafkahnya, pakaiannya, mengajarnya adab-adab, mengtarbiahnya dan lain-lain lagi. Kelebihan ini akan diperolehi bagi setiap orang yang menjaga anak-anak yatim ini dengan menggunakan harta mereka sendiri atau dengan menggunakan harta anak yatim tersebut dengan wilayah penjagaan. (Lihat Sahih Muslim yang ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Fu’ad, 4/2287)

Begitu juga kita dilarang keras untuk mengherdik dan menghina anak yatim. Bayangkan ibu bapanya sudah tiada, betapa redah dan miskin hatinya yang membawa rasa hina dan hiba. Sebaliknya, muliakanlah anak yatim dan jangan herdik dan hina.

Firman Allah SWT:

‏ فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ

Maksudnya: Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

(Surah al-Dhuha: 9)

Justeru, rebutlah kemuliaan di sisi Allah SWT dengan cara memuliakan anak-anak yatim.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”