Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan makna Kabad seperti dalam ayat 4 surah al-Balad?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ فِى كَبَدٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dalam keadaan dirinya berada dalam susah payah.”
(Surah al-Balad: 4)
Menurut sebahagian ahli tafsir, ungkapan (ٱلْإِنسَـٰنَ) dalam ayat itu bermaksud manusia kafir dan ungkapan (كَبَدٍ) pula bermaksud penderitaan dan kesesatan akibat kecelaruan yang dialami manusia kafir tersebut iaitu antara beriman kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang mencipta manusia dan mendustakan kehidupan selepas mati iaitu hari akhirat. Hal yang demikian juga adalah selari dengan ayat 8 hingga 9 daripada Surah al-Saba. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/351-352)
Keunikan Bahasa al-Quran
Antara keunikan al-Quran ialah mengandungi ungkapan atau ayat yang menerima lebih daripada satu tafsiran. Contohnya ialah perkataan (كَبَدٍ). Selain daripada tafsiran yang telah disebut sebelum ini, ia mempunyai tafsiran yang lain. Menurut al-Razi, perkataan ini memiliki beberapa tafsiran seperti berikut:
- Kepayahan
- Lurus atau konsisten.
- Kuat atau kukuh.
Jika ia ditafsirkan sebagai kepayahan, seolah-olah ingin diingatkan manusia itu dijadikan melalui beberapa fasa yang rumit dan mencabar bermula daripada percantuman sperma dan ovum, pembentukan fetus, kegelapan dan kesempitan rahim, proses kelahiran, penyusuan dan penjagaan sehingga menjadi manusia yang sempurna. Dalam mengharungi kehidupan, manusia harus berjuang demi sesuap rezeki. Bagi memperolehi kebahagiaan di akhirat, manusia harus menurut segala perintah dan larangan Tuhan. Kehidupan dan kematian adalah ujian bagi manusia sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat ke-2 daripada Surah al-Mulk. Menurut al-Razi lagi, kehidupan di dunia ini sama ada mengharungi keperitan atau melepaskan diri daripada keperitan. Jika manusia menganggap makan dan minum itu suatu nikmat, hakikatnya ia adalah proses melepaskan diri daripada keperitan lapar dan dahaga dan begitulah dengan nikmat-nikmat yang lain. Bagi melepaskan manusia daripada segala keperitan dunia dan memperolehi kenikmatan yang mutlak, Allah SWT mengadakan hari akhirat sebagai tempat pembalasan. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 31/166)
Jika ungkapan (كَبَدٍ) ditafsirkan sebagai lurus dan konsisten, seolah-olah ia merujuk kepada bentuk fizikal manusia yang lurus dan dilihat sebagai makhluk darat yang berdiri di atas dua kaki. Hal ini berbeza dengan bentuk fizikal kebanyakan haiwan darat yang berdiri di atas empat kaki. Penjelasan ini mengukuhkan maksud ayat ke-4 daripada Surah al-Tin. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/493)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”