#4688: Hikmah Kejadian Matahari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan hikmah kejadian matahari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT telah menjadikan matahari dengan pelbagai fungsi antara adalah untuk mengetahui waktu solat, membuat perkiraan takwim dan sebagainya. Allah SWT telah berfirman:

فَالِقُ الْإِصْبَاحِ وَجَعَلَ اللَّيْلَ سَكَنًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ حُسْبَانًا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

Maksudnya: Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-An’am: 96)

Allah SWT juga berfirman lagi:

وَٱلشَّمۡسُ تَجۡرِي لِمُسۡتَقَرِّ لَّهَاۚ ذَٰلِكَ تَقۡدِيرُ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡعَلِيمِ

Maksudnya: “Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah Yasin: 38)

Kekuasaan Allah SWT meliputi segala bentuk kejadian. Ayat di atas merupakan salah satu tanda kekuasaan dan kebesaran Allah SWT terhadap ciptaan-Nya sang matahari yang beredar pada orbitnya sehingga ke penghujung pusingannya.

Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam tafsirnya: Pusingan matahari adalah satu ketentuan dan ketetapan dari Allah SWT. Menurut beliau lagi, ulama tafsir mentafsirkan kalimah mustaqar kepada dua iaitu tempat (makani) dan masa (zamani).

Pendapat pertama menyatakan bahawa matahari beredar di tempatnya iaitu di bawah ‘Arasy yang hampir dengan bumi pada satu arah di mana kedudukan matahari dan sekalian makhluk masih tetap berada di bawah ‘Arasy. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa matahari akan terus beredar ke tempatnya sehingga tibanya hari kiamat.

Perkara ini telah dibuktikan dengan pandangan ahli astronomi bahawa terdapat pertambahan putaran matahari secara jelas di tengah-tengah bintang disebabkan pusingan bumi di sekeliling matahari setahun sekali. Bagi matahari, terdapat dua pergerakan yang lain iaitu pusingan di atas paksi dan pusingan berserta dengan pengiringan planet-planet yang bergerak di sekitar sistem solar dan galaksi dengan kecepatan yang amat tinggi.

Mustaqar pada pandangan yang pertama adalah merupakan paksi yang tetap manakala pandangan kedua pula merujuk kepada pergerakan sistem solar bersama-sama kumpulan planetnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/23)

Hikmah Kejadian Matahari

Firman Allah SWT:

وَٱلشَّمْسِ وَضُحَىٰهَا

Maksudnya: “Demi matahari dan waktu duhanya tatkala ia mengeluarkan cahayanya.”

(Surah al-Syams: 1)

Apabila Allah SWT bersumpah dengan matahari, ia menunjukkan bahawa terdapat pada matahari itu keunikan serta keistimewaan tersendiri. Dalam ilmu astronomi, matahari merupakan pusat sistem solar yang mana bumi merupakan salah satu daripada planet yang mengelilinginya. Saiz matahari adalah jauh lebih besar berbanding planet-planet yang mengelilinginya iaitu sebanyak 99%.

Semua aktiviti semulajadi bumi bergantung kepada tenaga matahari. Sebagai contoh, tumbuhan hijau memerlukan cahaya matahari untuk proses fotosintesis. Proses fotosintesis akan menghasil oksigen dan glukosa. Oksigen diperlukan oleh manusia dan haiwan untuk hidup sebagaimana mereka juga memerlukan tumbuhan sebagai sumber makanan. Pendek kata, tanpa matahari, proses kehidupan di muka bumi akan terhenti. Justeru, tidak hairan mengapa Allah SWT bersumpah dengan matahari dan menamakan salah satu daripada surah al-Quran dengan nama al-Syams yang bermaksud matahari. (Lihat Tafsir al-Ayat al-Kawniyah, 4/463-471; Tafsir al-Bayan, 6/505-506)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”