#4689: Berhujah Dengan Takdir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang itu berhujah dengan takdir untuk tidak berusaha?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا ٨ قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا ٩ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا

Maksudnya: “Allah memberi ilham kepada jiwa jalan keburukan dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya telah berjaya orang yang menyucikannya. Rugilah pula orang yang mengotorkannya.”

(Surah al-Syams: 8-10)

Allah SWT menegaskan bahawa orang yang memilih jalan ketakwaan, kemudian menyucikan jiwanya adalah orang yang berjaya. Manakala orang yang memilih jalan kemaksiatan, lalu mencemarkan jiwanya adalah orang yang gagal dan kecewa. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/505)

Menjawab persoalan di atas, tidak sewajarnya seseorang itu meninggalkan usaha dan amal dengan alasan takdirnya sudah ditentukan Allah SWT. Seolah-olah dia mengetahui perkara ghaib dan masa depan yang menjadi rahsia Tuhan. Ketika tanah Syam diserang wabak dan pada ketika itu Amirul Mukminin Umar R.A dalam perjalanannya menuju ke sana, beliau diberitahu tentang keadaan di sana, makas beliau mengambil keputusan untuk berpatah semula ke Madinah. Lalu tindakan beliau itu ditegur oleh salah seorang sahabat kanan Rasulullah SAW iaitu Abu Ubaidah R A, dengan katanya: “Adakah engkau berpatah semula kerana lari daripada takdir Allah SWT? Kemudian Umar R.A berkata:

لَوْ غَيْرُكَ قَالَهَا يَا أَبَا عُبَيْدَةَ – وَكَانَ عُمَرُ يَكْرَهُ خِلَافَهُ – نَعَمْ نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللهِ إِلَى قَدَرِ اللهِ، أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَتْ لَكَ إِبِلٌ فَهَبَطَتْ وَادِيًا لَهُ عُدْوَتَانِ، إِحْدَاهُمَا خَصْبَةٌ وَالْأُخْرَى جَدْبَةٌ أَلَيْسَ إِنْ رَعَيْتَ الْخَصْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللهِ، وَإِنْ رَعَيْتَ الْجَدْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللهِ

Maksudnya: “Kalaulah selainmu yang mengatakannya wahai Abu Ubaidah (Umar R.A tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah R.A). Ya, kita lari dari satu takdir kepada takdir yang lain. Andai kata engkau memiliki  seekor unta dan ia turun ke satu lembah yang mengandungi dua kawasan iaitu kawasan yang subur dan juga yang tandus. Jika engkau membawa untamu meragut rumput di kawasan subur, tidakkah yang demikian itu adalah takdir Tuhan. Begitu juga jika engkau membawanya meragut di kawasan tandus, ia juga adalah takdir Tuhan.”

Riwayat Muslim (2219)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.