#4692: Pengemis Jalanan di Malaysia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara kita berinteraksi dengan pengemis jalanan sebagaimana yang berlaku di negara kita Malaysia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَمَّا ٱلسَّآئِلَ فَلَا تَنْهَرْ

Maksudnya: “Mahupun dengan orang yang meminta, janganlah engkau mengherdiknya.”

(Surah al-Dhuha: 10)

Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan supaya janganlah bersikap kasar dan menghalau orang yang meminta-minta. Santunilah mereka dengan baik kerana engkau pun dahulu seorang yang miskin. Berikanlah sesuatu yang ringan kepada mereka, atau kamu menolaknya dengan cara yang baik dan tidak menyakiti mereka. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/295; Tafsir al-Qurtubi, 20/101)

Isu Pengemis Jalanan di Malaysia

Isu pengemis jalanan yang meminta-minta di Malaysia sudah menjadi satu trend bagi mendapatkan duit secara mudah dengan meraih simpati orang ramai tanpa sebarang usaha. Walaupun saranan surah al-Dhuha ayat 10 melarang umat Islam mengherdik dan menghalau orang yang meminta-minta, namun situasi hari ini memerlukan kita bersikap lebih berhati-hati apabila berdepan dengan golongan yang mengambil kesempatan atas saranan al-Quran agar menyantuni golongan yang meminta-minta. Isu hari ini, kebanyakan pengemis jalanan adalah terdiri daripada aktiviti sindiket yang mengunakan taktik dengan membabitkan golongan kanak-kanak, perempuan, orang tua, orang yang berpura-pura buta dan cacat untuk meraih simpati dengan meminta-minta daripada orang ramai. Hasil taktik ini mereka berjaya meraih keuntungan besar, khususnya dengan menjalankan modus operandi di kawasan tumpuan ramai. Dalam masa satu jam mereka berjaya meraih RM600. Selesai aktiviti dilihat sebuah van menghantar dan menjemput mereka.[1] Penjelasan yang lebih lanjut tentang isu ini sering dimuatkan dalam akhbar-akhbar Malaysia antaranya artikel di dalam akhbar Berita Harian seperti “Hasil lumayan punca pengemis meningkat di Shah Alam”, “Mengemis di ibu kota lumayan”, “Sindiket pengemis kanak-kanak kutip RM800 sehari”, “Berpecah, berkumpul taktik pengemis cilik”, “STAGG selamatkan 11 pengemis kanak-kanak Rohingya”, “Pelajar tahfiz diselamatkan” dan lain-lain. [2]

Menurut Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM, orang ramai boleh bersedekah melalui saluran yang betul bagi mengelak ditipu sindiket yang menggunakan pengemis untuk meminta sedekah. Ini kerana terdapat kira-kira 300 tangkapan dibuat sehari di seluruh negara dan sebanyak 45 peratus adalah melibatkan warga asing[3].

Dalam hal ini, dapat disimpulkan bahawa amalan mengemis dan meminta sedekah tanpa keperluan dan darurat adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Namun, sekiranya terdapat keperluan yang mendesak maka ianya adalah dibolehkan. Kita juga digalakkan untuk memberi sedekah dan menginfakkan harta kepada golongan yang memerlukan, namun tidak meminta-minta seperti pengemis. Ajaran agama Islam itu sendiri menyuruh umatnya sentiasa bekerja dan berusaha dalam meneruskan kehidupan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/535-537)

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

لأَنْ يَغْدُوَ أَحَدُكُمْ فَيَحْطِبَ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَتَصَدَّقَ بِهِ وَيَسْتَغْنِيَ بِهِ مِنَ النَّاسِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ رَجُلاً أَعْطَاهُ أَوْ مَنَعَهُ ذَلِكَ فَإِنَّ الْيَدَ الْعُلْيَا أَفْضَلُ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: “Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, kemudian dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Mulakan sedekah dengan orang-orang yang berada di bawah tanggunganmu.”

Riwayat Muslim (1042)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami simpulkan kepada beberapa poin:

  • Kenangilah perjalanan hidupmu daripada tidak memiliki apa-apa sehingga memiliki segalanya, maka perbanyakkanlah bersyukur kepada Allah SWT.
  • Sudah kaya dan berharta janganlah pula sombong, takbur dan bakhil kerana dalam hartamu ada hak untuk orang yang memerlukan.
  • Orang yang memberi lebih baik daripada orang yang menerima, oleh itu hindarilah budaya meminta-minta.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/07/171080/hasil-lumayan-punca-pengemis-meningkat-di-shah-alam (tarikh capaian: 10.10.2020/3.30pm)

[2] Lihat https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/03/401190/stagg-selamatkan-11-pengemis-kanak-kanak-rohingya  (tarikh capaian: 10.10.2020/4.19pm), https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/05/52435/berpecah-berkumpul-taktik-pengemis-cilik  (tarikh capaian: 10.10.2020/4.17pm), https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/11/2017/02/249618/sindiket-pengemis-kanak-kanak-kutip-rm800-sehari  (tarikh capaian: 10.10.2020/3.49pm), https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/11/2017/02/249618/sindiket-pengemis-kanak-kanak-kutip-rm800-sehari  (tarikh capaian: 10.10.2020/3.49pm), https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/05/50950/mengemis-di-ibu-kota-lumayan  (tarikh capaian: 10.10.2020/3.48pm), https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/07/171080/hasil-lumayan-punca-pengemis-meningkat-di-shah-alam (tarikh capaian: 10.10.2020/3.30pm), https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2016/01/114081/pelajar-tahfiz-diselamatkan  (tarikh capaian: 10.10.2020/4.24pm)

[3] Lihat   https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/05/280344/henti-beri-sedekah-kepada-pengemis-gelandangan  (tarikh capaian: 10.10.2020/4.25pm)