#4696: Maksud Dakwah Dalam Era Moden

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami maksud dakwah dalam era moden ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menyatakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

Menjawab persoalan di atas, dakwah ialah penyebaran ajaran sesuatu agama. Manakala Dakwah Islamiah merupakan penyebaran agama Islam. Pendakwah ialah orang (golongan) yang menyebarkan ajaran sesuatu agama; mubaligh. Kesimpulannya dakwah dapat diertikan dengan setiap ajakan baik melalui perkataan, tulisan ataupun sikap sama ada ajakan tersebut ke arah kebaikan atau kejahatan. Pengertian ini dijelaskan dalam al-Quran yang menyebut bahawa dakwah bukan sahaja dimaksudkan terhadap hal-hal yang baik, bahkan ajakan kepada perkara-perkara yang tidak baik juga disebut sebagai dakwah.

Dari aspek pengertian istilah:

  • Dakwah ialah suatu aktiviti atau kegiatan yang bersifat menyeru atau mengajak orang lain untuk mengamalkan ajaran Islam.
  • Dakwah ialah proses penyampaian ajaran Islam yang dilakukan secara sedar dan sengaja.
  • Dakwah ialah suatu aktiviti yang pelaksanaannya dilakukan dengan berbagai-bagai cara dan kaedah.
  • Dakwah ialah kegiatan yang dirancang dengan tujuan mencari kebahagiaan hidup bagi meraih keredhaan Allah.
  • Dakwah ialah usaha peningkatan pemahaman agama untuk mengubah pandangan hidup, sikap batin dan perilaku manusia yang tidak sesuai dengan ajaran Islam supaya ia sesuai dengan tuntunan syariat bagi memperoleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. [1]

Sejak zaman para rasul lagi, pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi dalam menyampaikan mesej dakwah kepada kaum masing-masing. Perubahan cabaran mengikut arus peredaran semasa dan masyarakat setempat seiring dengan arus kemodenan dan perkembangan teknologi.

Hasil daripada Diskusi Isu-Isu Dakwah Semasa Tahun 2015 menunjukkan bahawa cabaran dan masalah dalam dunia dakwah menjadi semakin kompleks apabila berlakunya perkembangan peradaban dan kemajuan dalam masyarakat. Antara cabaran tersebut dengan wujudnya adalah dari sudut ideologi atau pemikiran seperti penyebaran fahaman Liberalisme, Ekstremisme, Pluralisme dan sebagainya. Lantaran itu, pendakwah perlu melakukan transformasi dalam penyampaian dakwah dengan menggunakan pendekatan kontemporari yang lebih interaktif dan menarik dalam menangani isu-isu dakwah masa kini seiring dengan perkembangan teknologi yang berlaku bagi menjamin keberkesanan dalam berdakwah. Para pendakwah juga perlu mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur dalam usaha menyampaikan dakwah Islamiah kepada sasaran  bagi mengelak daripada berlakunya salah faham dalam masyarakat.[2] (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/570-571)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

 

Nota kaki:

[1] Pendekatan Dakwah untuk Cabaran Masa Depan: Satu Soroton. Tinta Artikulasi Membina Ummah 4(1), 2018 23-33.

[2] Lihat    http://www.islam.gov.my/berita-semasa/28-institut-latihan-islam-malaysia/136-cabaran-dakwah-islamiah-dalam-perkembangan-teknologi-masa-kini