#4697: Cabaran Seorang Pendakwah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah cabaran bagi seorang pendakwah dalam era moden ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menyatakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

Cabaran Seorang Pendakwah

Cabaran seorang pendakwah berbeza mengikut personaliti pendakwah serta tahap pemikiran dan sasaran. Ini kerana, orang yang didakwahnya itu mempunyai latar belakang yang berbeza. Sebagai contoh, berikut merupakan cabaran pendakwah pada masa kini iaitu:

  • Perubahan Mendadak Dunia Globalisasi (Volatility).
  • Ketidakpastian Penerimaan atau Penentangan Dakwah oleh Pihak Sekeliling (Uncertainty).
  • Kerumitan Mengurus Pelbagai Ideologi Masyarakat (Complexity).
  • Kekaburan Di Antara Dakwah Dengan Profesion (Ambiguity).
  • Manakala cabaran semasa bagi pendakwah kepada orang bukan Islam pula ialah:
  • Persepsi Etnik dan Agama.
  • Pengabaian elemen budaya masyarakat.
  • Penglibatan umat Islam dalam dakwah.
  • Pengaruh media massa.
  • Penguasaan ilmu.
  • Penyeragaman organisasi dakwah.

Kesimpulannya cabaran semasa bagi pendakwah masa kini ialah wujudnya penyempitan kaedah dakwah serta tiada pergerakan dan penambahan atau penguasaan ilmu yang dimiliki dalam kalangan pendakwah. Al-Quran sebagai wahyu daripada Allah merupakan sesuatu yang mutlak dan tidak berubah, Pengurusan dakwah yang dilakukan oleh para pendakwah masih bersifat konvensional atau masih menggunakan kaedah atau cara lama. Para pendakwah juga perlu bijak mengatur dan memainkan pelbagai karakter sebagai komunikator terbaik, kaunselor, penyelesai masalah, pengurus, usahawan dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/571-572)

Kesimpulan

Para pendakwah perlu beristiqamah dan bersabar dalam memperjuangkan dakwah Islam kepada masyarakat walaupun diuji dengan pelbagai dugaan dan mehnah. Namun, ingatlah bahawa Allah SWT merupakan sebaik-baik penolong dan tempat kembali seorang hamba.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”