#4699: ِِAdakah Wanita Yang Telah Dikhulu’ Mempunyai ‘Iddah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khulu’ bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ  فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ  وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ  فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ  تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا  وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 229-230)

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127)

Sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/202)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan kewajipan ‘iddah adalah atas setiap wanita yang berpisah dengan suaminya, sama ada dia berpisah kerana perceraian termasuklah khulu’, fasakh, atau kematian, kecuali jika perceraian berlaku sebelum hubungan intim, maka tidak ada ‘iddah bagi wanita tersebut. Hal yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.

(Surah al-Ahzab: 49 )

Dalam isu ini kami ulama ada berbeza pandangan. Kami perincikan sebagaimana berikut:

Pertama: ‘Iddah wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ adalah sekali haid. Ini merupakan pandangan dari sebahagian salaf, Ibn Qayyim, Ibn Taimiyyah dan merupakan pandangan yang dipilih oleh Ibn Munzir serta satu riwayat dari mazhab Hanbali.

Ibn Qayyim menyatakan bahawa:  Perintah Rasulullah SAW terhadap wanita yang bercerai untuk ber’iddah  hanya satu haid,  ia merupakan bukti terhadap dua hukum: salah satunya, bahawa tidak wajib baginya menunggu tiga kali haid, namun cukup baginya satu kali haid. (Lihat Za’ al-Ma’ad, 5/179)

Ibn Uthaimin dalam isu ini beliau menyebutkan: Pendapat sebahagian ulama ialah bahawa wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ tidak perlu menunggu ‘iddah, tetapi cukup menyucikan rahim (istibra’). Ini lah  adalah yang sahih iaitu  tidak ada ‘iddah baginya, tetapi cukup dengan menyucikan rahim. Jika dia mengalami haid sekali, maka ‘iddahnya berakhir. (Lihat Syarh al-Mumti’, 12/471)

Mereka berdalilkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Rabi’ Binti Muawwiz beliau berkata:

أنَّها اختلَعَت على عهدِ النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فأمَرَها النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم -أو أُمِرَت- أن تعتَدَّ بحَيضةٍ

Maksudnya: Beliau pernah menebus talak pada zaman Rasulullah SAW lalu Rasulullah SAW memerintahkannya untuk ber’iddah dengan sekali haid.

Riwayat al-Tirmizi (1185)

Kedua: ‘Iddah wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ adalah ‘iddah penceraian iaitu tiga kali suci. Ini merupakan pandangan al-Laith, al-Auzai’, Syaf’ie, Hanbali dan Maliki.

Telah dinyatakan dalam al-Mughni bahawa: Setiap perpisahan yang terjadi antara suami isteri maka ‘iddahnya adalah ‘iddah talak menurut kebanyakan ulama, samada khulu’, li’an, fasakh atau disebabkan kesusahan, pembebasan, perbezaan agama dan lain-lain.

Mereka menyatakan ‘iddah wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ adalah ‘iddah penceraian. Ini merupakan pandangan Said bin Musayyib, Salim Bin Abdullah, Urwah, Sulaiman Bin Yasar, Umar Bin Abdul ‘Aziz, Hasan, Sya’bi, Nakha’i, al-Zuhri, Qatadah, Khilas Bin ‘Amru, Abu Iyad, Malik al-Laith, Auzai dan al-Syafi’ dan begitu juga pandangan kami.  Perpisahan yang terjadi selepas berlakunya persetubuhan  iddahnya adalah 3 kali suci sebagaimana perpisahan selain khulu’. (Lihat al-Mughni, 11/196-197)

Mereka berdalilkan firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: “Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci.”

(Surah al-Baqarah: 228)

Al-Damiri menukilkan dalam kitabnya bahawa perempuan yang merdeka yang masih mempunyai haid ‘iddahnya adalah tiga kali samada penceraian itu berlaku dengan cara khulu atau selainnya. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau berkata: ‘Iddah bagi wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ adalah sebagaimana ‘iddah penceraian. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 8/125)

Begitu juga dalam Mausu’ah Masail Jumhur fi Fiqh al-Islami menyebutkan: Jumhur Ulama berpandangan bahawa ‘Iddah bagi wanita yang diceraikan dengan cara khulu adalah ‘iddah penceraian. (Lihat Mausu’ah Masail Jumhur fi Fiqh al-Islami, 2/769 )

Justeru kami cenderung kepada pandangan yang kedua iaitu wanita yang diceraikan dengan cara tebus talak hendaklah menjalani tempoh ‘iddah sepertimana penceraian-penceraian yang lain iaitu tiga kali suci kerana tempoh tersebut merupakan tempoh bagi penyucian rahim. Yang demikian juga merupakan pandangan yang dipegang oleh jumhur ulama.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahua’lam