#4701: Wanita Memakai Seluar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebenarnya, bolehkah wanita memakai seluar panjang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan  firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?’ Katakanlah : ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

(Surah al-A‘raf : 32)

Ayat ini merupakan hujah daripada Allah SWT bagi menolak sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan atau minuman atau pakaian menurut pendapat mereka sendiri bukannya syariat daripada Allah SWT. Perhiasan dan benda-benda yang baik ini Allah SWT telah jadikannya buat orang-orang yang beriman kepadaNya di atas dunia, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari akhirat kelak, kenikmatan tersebut adalah khusus buat orang-orang beriman sahaja. Tidak ada seorang pun dalam kalangan orang-orang kafir yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana orang-orang kafir itu  tempat kembali mereka adalah neraka. Demikian juga, syurga itu telah diharamkan buat orang-orang kafir (dari memasukinya). (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, oleh Dr. Solah al-Khalidi, 3/1323).

Secara umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90). Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Ini kerana pemakaian suatu pakaian berkait rapat dengan sesuatu adat dan budaya masyarakat setempat. Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslim atau Muslimah. Namun, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya:Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

(Surah al-A‘raf: 26)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).

Di antara prinsip-prinsip tersebut ialah menutup aurat, lelaki tidak menyerupai perempuan atau sebaliknya, tidak membawa kepada libas syuhrah (pakaian yang dilihat pelik) dan lain-lain.

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, secara ringkasnya, kami katakan bahawa tidak mengapa wanita memakai seluar panjang dengan syarat masih menutup aurat, tidak menampakan warna kulit, tidak menyerupai lelaki mahupun agama lain, serta pemakaian seluar itu tidak mencalarkan atau menjatuhkan maruahnya.

Aurat hendaklah ditutup keseluruhannya tidak boleh menutup sebahagiannya manakala sebahagian yang lain pula didedahkan. Bahkan haram melakukan perkara tersebut. Rasulullah SAW bersabda:

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ ، مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ، رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Ada dua golongan penghuni neraka yang belum pernah kulihat, iaitu suatu kaum yang membawa cemeti seperti (pemukul) seperti ekor lembu, di mana mereka memukul orang-orang (tanpa hak); dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang, mereka berlenggak-lenggok saat berjalan dan menyimpang dari kebenaran, dandanan rambut mereka seperti bonggol unta yang berat sebelah. Mereka ini tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium wanginya, padahal wanginya syurga itu mampu untuk dihidu sejauh perjalanan sekian dan sekian.”

Riwayat Muslim (2128)

Begitu juga tidak mengenakan pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit. Menurut al-Hafiz al-Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya, Ithaf Sadah al-Muttaqin (3/134) bahawa aurat seorang wanita merdeka adalah seluruh badan melainkan wajah dan dua pergelangan tangan iaitu bermula daripada kepala jari jemari sampai ke pergelangan tangan. Beliau menyebutkan lagi, syarat menutup aurat adalah memakai sesuatu yang menghalang daripada dapat dilihat warna kulit bukan daripada yang menghilangkan bentuk badannya (kerana sebahagaian manusia khususnya yang gemuk sukar untuk tidak menampakkan sedikitpun daripada bentuk badannya). Maka tidak memadai pakaian nipis dan koyak kerana ia tidak menghalang untuk dilihat warna kulit melalui celah-celahannya. Begitu juga tidak memadai seseorang memakai kaca yang menampakkan warna kulit kerana tujuan menutup aurat tidak akan berlaku dengannya. Adapun jika menampakkan bentuk tubuh sahaja maka ia tidak memudaratkan tetapi bagi wanita hukumnya makruh memakai pakaian tersebut, manakala bagi lelaki hukumnya adalah khilaf al-aula. Pendapat ini juga adalah pendapat al-Mawardi dan ulama selainnya.

Begitu juga Syaikh al-Islam Zakariyya al-Ansari turut menyebutkan, tidak memadai bagi menutup aurat pakaian yang menampakkan warna kulit iaitu orang yang dapat melihat warna disebalik pakaian tersebut seperti pakaian koyak yang tidak menghalang daripada dilihat warna kulit kerana tujuan sebenar menutup aurat tidak akan berlaku tanpa menutup perkara tersebut. Tidak memudaratkan (tidak mengapa) setelah pakaian tersebut menutup warna kulit jika menampakkan bentuk badan sekalipun tetapi hukumnya adalah makruh bagi wanita dan khilaf al-Aula bagi lelaki. Perkara ini disebut oleh Imam al-Mawardi dan ulama selainnya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/176).

Bahkan Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyatakan, syarat menutup aurat ketika di dalam solat mahupun di luar solat, baik berupa pakaian ataupun bukan, mestilah meliputi seluruh anggota tubuh yang hendak ditutupi serta menutupi warnanya. Dalam erti kata lain, menutup aurat cukup atau memadai dengan sesuatu yang mencegah terlihatnya warna kulit, meskipun menampakkan lekuk/bentuk tubuh, seperti seluar yang ketat. Akan tetapi jika seluar ketat, maka makruh dipakai oleh perempuan, dan menyalahi perbuatan yang lebih utama (khilaf al-Aula) jika dipakai oleh lelaki. (Lihat al-Minhaj al-Qawim, hlm. 115).

Tambahan lagi, di sana terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ مَرَّتْ امْرَأَةٌ عَلَى دَابَّةٍ فَلَمَّا حَاذَتْ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَثَرَتْ بِهَا، فَأَعْرَضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَكَشَّفَتْ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ عَلَيْهَا سَرَاوِيلَ فَقَالَ: رَحِمَ اللَّهُ الْمُتَسَرْوِلَاتِ

Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah SAW sedang duduk di salah satu pintu masjid, lalu seorang wanita yang sedang menunggang haiwan tunggangan melewatinya. Ketika kedudukannya berada selari dengan Nabi SAW, tiba-tiba haiwan tunggangannya tersandung lalu dia pun terjatuh. Maka, Nabi SAW pun berpaling (dari melihat wanita itu) dan wanita tadi pula tersingkap pakaiannya. Kemudian, dikatakan kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia memakai seluar (di sebalik pakaiannya).’ Baginda pun bersabda: ‘Semoga Allah merahmati para wanita  yang memakai seluar.’” (Lihat Syu‘ab al-Iman, 10/229).

Selain daripada itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut mengeluarkan fatwa berkenaan pemakaian seluar bagi wanita dengan menyatakan:

جَوَازُ لُبْسِهِ لِلْمَرْأَةِ، بِشَرْطِ أَنْ تَتَحَقَّقَ فِيهِ شُرُوطُ السَّتْرِ الْمَطْلُوبَةُ شَرْعًا

Maksudnya: “Diharuskan bagi wanita untuk memakainya (seluar) dengan syarat ia memenuhi syarat-syarat menutup aurat sepertimana yang dituntut oleh syarak.”[1]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa bagi wanita untuk memakai seluar panjang selagi mana seluar panjang tersebut dapat menutup auratnya, tidak menampakkan warna kulitnya serta pemakaian seluar itu tidak mencalarkan atau menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita Muslimah. Ini bertepatan sebagaimana hukum asal pakaian dan perhiasan itu sendiri berdasarkan kepada kaedah:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Manakala pemakaian seluar atau pakaian yang ketat pula, para ulama menghukumkannya sebagai makruh jika ia dipakai oleh wanita dan khilaf aula jika ia dipakai oleh lelaki. Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa memakai seluar panjang yang longgar dan tidak ketat adalah lebih baik dan jauh daripada fitnah. Inilah yang sebaik-baiknya. Apatah lagi memakai pakaian yang longgar dan tidak ketat secara tidak langsung mencerminkan akhlak dan peribadi seorang wanita Muslimah itu sendiri, di samping menjauhkan dirinya daripada sebarang pandangan yang tidak baik mahupun tohmahan. Kaedah ada menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[2]

Hal ini kerana sebagai seorang Muslim dan Muslimah, kita turut diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim dan Muslimah atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.alwafd.news/دنياودين/2147394-الإفتاءتوضححكمارتداءالبنطالالضيقللمرأة. Diakses pada 29 November 2023.

[2] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.