Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum solat terawal waktu kerana tersalah melihat jam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat merupakan rukun yang penting yang perlu dijaga. solat menjadi suatu kewajipan ke atas semua umat Islam tanpa mengira jantina, bangsa mahupun pangkat. Ini termasuk juga ke atas mereka yang tidak sihat ataupun mengalami kekurangan upaya dari segi fizikal. Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah: 43)
Dan firman Allah SWT lagi:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisa’: 103)
Kedua-dua ayat di atas merupakan antara dalil-dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/3)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya seseorang itu solat sebelum masuknya waktu solat disebabkan tersalah melihat jam, maka dia perlu mengulanginya sekiranya masih dalam waktu solat dan qadha apabila waktu solat telah tamat.
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/276) menyebut: “Apabila ternyata solat seseorang berlaku sebelum masuk waktu, solatnya dianggap batal dan wajib mengulanginya sama ada dia berpegang kepada keyakinannya, ijtihadnya atau taqlid.”
Syeikh Muhammad al-Zuhaili pula menyatakan: “Sesiapa yang meyakini perlaksanaan sembahyang terjadi sebelum waktunya, atau terjadi sebahagiannya walaupun takbiratul ihram, atau diberitahu orang yang dipercayai, dan diketahui yang demikian dalam waktu atau sebelumnya, maka wajib mengulanginya, dan jika diketahui setelah berakhir waktu, maka wajib diqadha, walaupun hilang syaratnya iaitu waktu, dan tidak ada dosa baginya kerana keuzuran.” (Lihat al-Mu’tamad, 1/164).
Syeikh Syahuddin al-Ramli menakalkan fatwa Imam al-Barizi seperti berikut: “al-Barizi ditanya tentang seorang lelaki yang berada dalam situasi selama 20 tahun tersilap dalam penentuan fajar kemudian solat (Subuh ketika fajar kazib), kemudian ternyata kepadanya akan kesilapan itu; maka apakah dia wajib menggantikan (solat-solat Subuhnya yang lalu)? Maka al-Barizi menjawab tidak wajib keatasnya melainkan sekali sahaja solat gantinya, kerana solatnya setiap hari adalah ganti pada solat bagi hari-hari sebelum.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj,1/454); Hasyiah Jamal, 1/334); Hasyiah al-Bujairimi, 1/454), dan Nihayah al-Zain, hlm. 56)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)