#4707: Rasulullah SAW Menerima Hadiah Perkahwinan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW juga pernah menerima hadiah dari perkahwinan Baginda dengan isterinya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

لَّيْسَ ٱلْبِرَّ أَن تُوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلْبِرَّ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلْكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآئِلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan dia mendermakan harta yang disayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Perbuatan memberi hadiah ini merupakan amalan yang baik dalam apa jua keadaannya. Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”

Riwayat al-Baihaqi (11947), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594)

Berkenaan persoalan yang saudara ajukan, kami katakan benar, Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah, sama ada secara umum atau hadiah dari perkahwinan Baginda SAW. Adapun secara umum, berdasarkan hadith Ummu al-Mu’minin  ‘Aisyah R.A, katanya:

كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ يَقْبَلُ الهَدِيَّةَ ويُثِيبُ عَلَيْها

Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”

Riwayat Bukhari(2585)

Adapun hadiah bersempena perkahwinan Baginda SAW, seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ ﷺ عَرُوسًا بِزَيْنَبَ، فَقَالَتْ لِي أُمُّ سُلَيْمٍ: لَوْ أَهْدَيْنَا لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ هَدِيَّةً، فَقُلْتُ لَهَا: افْعَلِي، فَعَمَدَتْ إِلَى تَـمْرٍ وَسَـمْنٍ وَأَقِطٍ، فَاتَّخَذَتْ حَيْسَةً فِي بُرْمَةٍ، فَأَرْسَلَتْ بِـهَا مَعِي إِلَيْهِ، فَانْطَلَقْتُ بِـهَا إِلَيْهِ، فَقَالَ لِي: ضَعْهَا. ثُـمَّ أَمَرَنيِ فَقَالَ: ادْعُ لِي رِجَالًا – سَـمَّاهُمْ – وَادْعُ لِي مَنْ لَقِيتَ. قَالَ: فَفَعَلْتُ الَّذِي أَمَرَنِي، فَرَجَعْتُ، فَإِذَا الْبَيْتُ غَاصٌّ بِأَهْلِهِ، فَرَأَيْتُ النَّبِيَّ ﷺ وَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى تِلْكَ الْحَيْسَةِ، وَتَكَلَّمَ بِـهَا مَا شَاءَ اللَّهُ، ثُمَّ جَعَلَ يَدْعُو عَشَرَةً عَشَرَةً، يَأْكُلُونَ مِنْهُ، وَيَقُولُ لَهُمْ: اذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَلْيَأْكُلْ كُلُّ رَجُلٍ مِـمَّا يَلِيهِ

Maksudnya: “Pada suatu ketika, Baginda SAW baru berkahwin dengan Zainab. Ummu Sulaim berkata kepadaku: ‘Apa kata kita hadiahkan kepada Rasulullah SAW satu hadiah?’ Aku berkata kepadanya: ‘Lakukanlah.’ Maka ibuku mengambil kurma, minyak sapi dan keju lalu membuat sejenis manisan di dalam periuk dan memerintahkan aku membawanya kepada Baginda SAW. Aku berangkat membawa kiriman itu kepada Baginda SAW dan Baginda berkata kepadaku: ‘Letakkanlah ia.’ Kemudian Baginda memerintahkanku sambil bersabda: ‘Panggilkan aku beberapa orang lelaki – Baginda menyebutkan nama-nama mereka – dan panggillah kepadaku siapa yang engkau dapat temui.’ Dia berkata lagi: Aku melakukan apa yang diperintahkannya kepadaku. Ketika aku kembali ternyata rumah sudah dipenuhi ramai orang. Aku melihat Nabi SAW meletakkan kedua-dua tangan Baginda pada manisan tersebut dan berbicara mengucapkan perkataan yang dikehendaki Allah, kemudian Baginda memanggil sepuluh orang demi sepuluh orang untuk makan daripada makanan itu dan bersabda kepada mereka: ‘Sebutlah nama Allah dan hendaklah setiap orang memakan apa yang hampir dengannya’.”

Riwayat Muslim (1428)

Berdasarkan hadith ini, kita dapat melihat bagaimana akhlaq Rasulullah SAW ketika menerima hadiah. Baginda tidak hanya memanfaatkannya untuk kepentingannya seorang, bahkan berkongsikannya dengan orang ramai yang ada di sekitarnya. Tindakan ini mencerminkan akhlaq yang terpuji yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW disamping Baginda amat menekankan pentingnya menjalin hubungan baik dan penuh kasih sayang sesama muslim.

Semoga kita semua dapat mencontohi sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا ورزقًا طيِّبًا وعملًا متقبَّلًا

Maksudnya: “Ya Tuhan, aku memohon daripada-Mu ilmu yang bemanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (762) dan Ahmad (26731)

Wallahu a‘lam