#4708: Status Wudhuk: Bersalaman dengan Bukan Muslim

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah bersalaman dengan bukan Islam membatalkan wudhuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhuklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali,”

(Surah al-Maidah: 6)

Dalam suatu hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا صَلاةَ لِمَنْ لا وُضُوءَ لَهُ

Maksudnya: “Tidak solat kepada orang yang tidak berwudhuk.”

Riwayat Abu Daud (101)

Rasulullah SAW telah menyebut dengan jelas bahawa orang yang berhadas maka batal wuduknya. Sedangkan solat mesti mempunyai wuduk. Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لا تُقْبَلُ صَلاةُ مَن أحْدَثَ حتّى يَتَوَضَّأَ قالَ رَجُلٌ مِن حَضْرَمَوْتَ: ما الحَدَثُ يا أبا هُرَيْرَةَ؟ قالَ: فُساءٌ أوْ ضُراطٌ

Maksudnya: “Tidak diterima solat siapa yang berhadas sehingga dia berwuduk. Lantas sahabat lelaki dari Hadramaut bertanya, ‘Apa itu hadas hai Abu Hurairah?’ Jawab Abu Hurairah, ‘Kentut, ( فُساءٌ)’ iaitu kentut yang tidak berbunyi atau ضُراطٌ iaitu kentut yang berbunyi.

Riwayat al-Bukhari (135) dan al-Tirmizi (330)

Ibnu Munzir Rahimahullah berkata, “Telah ijmak para ulama bahawa keluar najis dari dubur, keluar air kencing dari zakar dan begitu juga wanita, keluar mani, keluar angin dari dubur (kentut), hilangnya akal dengan apa cara sekali pun termasuk dalam hadas semuanya itu memerlukan taharah dan mewajibkan wudhuk.” (Lihat al-Ijma’, hlm. 29)

Berkenaan isu bersalam dengan bukan Islam, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2391: Bersalaman Dengan Bukan Islam Kena Sertu dan Basuh?[1]

Kesimpulan

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bersalaman dengan mereka yang bukan Islam (sesama jantina) tidaklah membatalkan wudhuk. Perlu difahami perkara yang membatalkan wudhuk adalah seperti keluarnya sesuatu dari dubur atau qubul, menyentuh kemaluan, tidur yang punggungnya tidak tetap di lantai, hilang akal, menyentuh kulit antara lelaki dan perempuan tanpa berlapik.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Nota kaki:

[1] https://maktabahalbakri.com/2391-bersalaman-dengan-bukan-islam-kena-sertu-dan-basuh/