#4709: Isteri Sedekah kepada Suaminya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah isteri bersedekah kepada suaminya dan mendapat pahala atas sedekahnya itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Di antaranya, orang yang bersedekah akan diganjari dengan pahala yang banyak.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَآ أَنفَقُوا۟ مَنًّۭا وَلَآ أَذًۭى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa isteri dibolehkan untuk bersedekah kepada suaminya, bahkan suaminya itu lebih berhak untuk diberi sedekah oleh isterinya berbanding orang lain.

Di sana terdapat hadith daripada riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَضْحًى أَوْ فِطْرٍ إِلَى الـمُصَلَّى، ثُمَّ انْصَرَفَ، فَوَعَظَ النَّاسَ، وَأَمَرَهُمْ بِالصَّدَقَةِ، فَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، تَصَدَّقُوا، فَمَرَّ عَلَى النِّسَاءِ، فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ، تَصَدَّقْنَ، فَإِنِّي أُرِيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ فَقُلْنَ: وَبِمَ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: تُكْثِرْنَ اللَّعْنَ، وَتَكْفُرْنَ العَشِيرَ، مَا رَأَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِينٍ، أَذْهَبَ لِلُبِّ الرَّجُلِ الحَازِمِ، مِنْ إِحْدَاكُنَّ، يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ ثُمَّ انْصَرَفَ، فَلَمَّا صَارَ إِلَى مَنْزِلِهِ، جَاءَتْ زَيْنَبُ، امْرَأَةُ ابْنِ مَسْعُودٍ، تَسْتَأْذِنُ عَلَيْهِ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذِهِ زَيْنَبُ، فَقَالَ: أَيُّ الزَّيَانِبِ؟ فَقِيلَ: امْرَأَةُ ابْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ: نَعَمْ، ائْذَنُوا لَهَا فَأُذِنَ لَهَا، قَالَتْ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّكَ أَمَرْتَ اليَوْمَ بِالصَّدَقَةِ، وَكَانَ عِنْدِي حُلِيٌّ لِي، فَأَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهِ، فَزَعَمَ ابْنُ مَسْعُودٍ: أَنَّهُ وَوَلَدَهُ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَلَيْهِمْ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَدَقَ ابْنُ مَسْعُودٍ، زَوْجُكِ وَوَلَدُكِ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتِ بِهِ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi menuju ke tanah lapang untuk mengerjakan solat Aidiladha atau Aidilfitri. Setelah selesai mengerjakan solat, Baginda menghadap ke arah jemaah, memberikan nasihat kepada mereka, dan memerintahkan mereka untuk bersedekah. Baginda bersabda: ‘Wahai orang ramai, bersedekahlah!’ Kemudian Baginda berjalan menuju ke jemaah wanita dan bersabda: ‘Wahai kaum wanita, bersedekahlah! Kerana sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku bahawa kamu (wanita) merupakan majoriti penghuni neraka.’ Mereka bertanya: ‘Apa penyebabnya, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Kamu banyak mencaci dan banyak menderhakai suami. Belum pernah kulihat seorangpun yang kurang dari sudut akal dan agama, tapi pada masa sama mampu mengalahkan lelaki yang lebih berakal berbanding kamu.’ Kemudian Baginda pergi. Ketika Baginda sudah berada di rumahnya, datanglah Zainab, isteri Abdullah bin Mas‘ud meminta izin untuk bertemu Baginda. Seseorang berkata kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, ini ialah Zainab.’ ‘Zainab yang mana?’ tanya Baginda. Orang itu menjawab: ‘Isteri Ibn Mas‘ud.’ Baginda bersabda: ‘Ya, izinkanlah dia masuk.’ Maka Zainab pun diizinkan masuk. Lantas beliau berkata: ‘Wahai Nabi Allah, sesungguhnya engkau memerintahkan kami untuk bersedekah. Aku mempunyai perhiasan yang memang milikku, dan aku ingin menyedekahkannya. Namun Ibn Mas‘ud merasakan bahawa dirinya dan anaknya adalah orang yang lebih berhak untuk aku beri sedekah.’ Nabi SAW bersabda: ‘Ibn Mas‘ud benar. Suami dan anakmu lebih berhak untuk kamu beri sedekah.’

Riwayat al-Bukhari (1462)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, terdapat beberapa faedah yang dapat diambil atau difahami daripadanya. Di antaranya, kelebihan atau keutamaan sedekah yang sunat (yang dilakukan secara sukarela). Begitu juga dianjurkan untuk memberi sedekah kepada keluarga terdekat seperti suami dan anak-anak  yang memerlukan (kepada sedekah tersebut), meskipun nafkah untuk mereka bukanlah sesuatu yang wajib bagi orang yang memberi sedekah. Sebaliknya ia merupakan sedekah yang menyambungkan silaturahim. Selain daripada itu, seorang wanita juga boleh bersedekah dengan hartanya dan menguruskan hartanya sendiri tanpa memerlukan kepada izin suaminya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/403).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan bahawa isteri dibolehkan atau diharuskan untuk bersedekah kepada suaminya, bahkan suaminya itu lebih berhak untuk diberi sedekah oleh isterinya berbanding orang lain sebagaimana hadith sahih yang menunjukkan kepada hal itu. Begitu juga isteri akan mendapat pahala atas sedekahnya tersebut — insya-Allah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”