#4712: Membaca Basmalah sebelum Bermain Permainan Video

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu melihat kawan saya membaca basmalah sebelum bermain game. Apabila saya tegur, dia kata sudah terbiasa. Adakah dibolehkan Dato? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Basmalah

Basmalah dari sudut bahasa dan istilah merujuk kepada ucapan “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” (Bismillahirrahmanirrahim). Dikatakan: Basmal “بَسْمَل” Basmalah “بَسْمَلَةً”, apabila seseorang mengucapkan atau menulis: Bismillah “بِسْمِ اللَّهِ”. Dikatakan juga: “Perbanyakan basmalah,” bermaksud “Perbanyakan ucapan Bismillah.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/83).

Selain itu, menurut al-Qurtubi, lafaz “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” adalah salah satu ayat yang Allah SWT turunkan dalam kitab kita (iaitu al-Quran) dan ke atas umat ini secara khususnya setelah zaman Nabi Sulaiman A.S. Sebahagian ulama berpendapat, sesungguhnya “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” mengandungi seluruh syariat kerana ia merujuk kepada zat Allah dan sifat-sifat-Nya, dan pendapat ini adalah benar. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/91).

Seterusnya, al-Qurtubi menukilkan pula bahawa sebahagian ulama berpendapat makna ucapan Bismillah “بِسْمِ اللَّهِ” ialah aku mulakan dengan mengharapkan pertolongan Allah, taufiq-Nya dan keberkatan daripada-Nya. Ini adalah pengajaran daripada Allah SWT kepada para hamba-Nya agar mereka menyebut nama-Nya ketika memulakan pembacaan dan selainnya, supaya permulaan mereka diiringi dengan keberkatan daripada Allah ‘Azza wa Jalla. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/98).

Oleh sebab itu, Allah SWT memerintahkan kepada manusia agar memulakan setiap amalan dengan lafaz “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ”. Setiap perbuatan yang dimulai dengan basmalah sudah pasti mendapat keberkatan daripada Allah SWT sebagai Pemberi nikmat Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/58).

Di samping itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya:Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.

Riwayat Ahmad (8712)

Menurut Imam al-Nawawi, maksud perkara penting dalam hadith di atas ialah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Justeru, para ulama berpendapat disunatkan untuk memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan lain-lain perkara yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/73).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum membaca basmalah ini disyariatkan ketika melakukan perkara yang diharuskan atau perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Adapun perkara yang haram dan makruh, maka tidak disyariatkan menyebut basmalah ketika melakukannya. Justeru, kami katakan hukum membaca basmalah sebelum bermain permainan video (game) adalah makruh kerana ia termasuk dalam perkara-perkara lagha.

Walaupun begitu, mungkin ada di sana permainan video yang menambahkan ilmu agama atau sejarah serta sirah Nabi SAW, kisah para salafus soleh yang menyedarkan, maka kes seperti ini diharuskan bahkan disunatkan membaca basmalah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”