#4713: Perkahwinan: Salah Satu Kekuasaan Allah di Dunia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah perkahwinan itu sebenarnya salah satu bentuk kekuasaan Allah SWT dan ketetapan-Nya di dunia ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perkahwinan itu merupakan al-sunnah al-kauniyyah atau fenomena semula jadi yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai salah satu tanda kekuasaan-Nya. Oleh yang demikian, Allah SWT menciptakan segala sesuatu itu secara berpasang-pasangan seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).”

(Surah al-Zariyat: 49)

Yakni, semua makhluk ciptaan Allah SWT itu berpasangan; langit dan bumi, malam dan siang, matahari dan bulan, daratan dan lautan, cahaya dan kegelapan, iman dan kufur, kematian dan kehidupan, kesedihan dan kegembiraan, syurga dan neraka, hatta yang bernyawa seperti jin, manusia, lelaki (atau jantan) dan perempuan (atau betina), dan tumbuh-tumbuhan. Kerana itu kemudiannya Allah SWT katakan: (لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ), yakni agar kalian tahu bahawa Pencipta itu hanya satu dan tidak ada sekutu baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/395)

Dan daripada pasangan inilah, berlakunya pembiakan sehingga semua hidupan dapat membiak dan mengekalkan kemandirian spesis masing-masing. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.”

(Surah al-Nisa’: 1)

Allah SWT menyebutkan tentang pasangan bagi tumbuh-tumbuhan seperti dalam firman-Nya:

وَمِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ جَعَلَ فِيهَا زَوْجَيْنِ ٱثْنَيْنِ ۖ

Maksudnya: “Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua.”

(Surah al-Ra‘d: 3)

Dan Allah SWT juga menerangkan dengan jelas perihal pasangan binatang dalam Surah al-Syura:

وَمِنَ ٱلْأَنْعَـٰمِ أَزْوَٰجًۭا ۖ يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ ۚ

Maksudnya: “Dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu).”

(Surah al-Syura: 11)

Dan dalam firman-Nya yang lain, Dia menyebutkan tentang pasangan lelaki dan perempuan buat manusia:

وَأَنَّهُۥ خَلَقَ ٱلزَّوْجَيْنِ ٱلذَّكَرَ وَٱلْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Najm: 45)

Berbeza dengan hidupan yang lain, perkahwinan ini mempunyai makna yang berbeza selain dari sekadar pembiakan bagi umat manusia. Perkahwinan bagi manusia merupakan satu nikmat kurniaan Allah SWT yang besar buat kita, sebagaimana dalam firman-Nya:

وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَٰجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةًۭ وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ ۚ

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal”

(Surah al-Nahl: 72)

Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan bahawa pasangan, anak-anak, dan rezeki yang baik merupakan nikmat Allah SWT yang sangat besar. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/412)

Oleh yang demikian, manusia dapat merasakan ketenangan hati, kemesraan hidup dengan pasangan dan mencambahkan perasaan kasih serta belas kasihan. Benarlah firman Allah SWT:

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutb berkata: Islam memandang rumah tangga sebagai tempat kediaman, keamanan dan kedamaian dan memandang kepada hubungan suami isteri sebagai hubungan kasih mesra dan menegakkan hubungan ini di atas pilihan yang bebas supaya ia dapat berlangsung di atas asas saling mengerti, saling bersimpati dan saling berkasih sayang. Maka Islam inilah juga yang berkata kepada para suami:

فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّـهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Ini adalah supaya mereka mengekalkan hubungan suami isteri mereka dan tidak terus memutuskannya dengan sekali fikir sahaja atau dengan desakan keinginan yang pertama sahaja, malah ia harus memelihara kepentingan yayasan insaniyyah yang agung ini agar tidak terdedah kepada ledakan keinginan sentimen yang berubah-ubah dan kepada ketololan nafsu yang terbang di sana-sini. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 3/234)

Dan menggambarkan betapa besarnya peranan perkahwinan dalam kehidupan manusia itu, sehinggakan ia boleh mempengaruhi keimanan serta agama seseorang. Oleh sebab itulah Rasulullah SAW mengatakan bahawa perempuan solehah itu penyempurna separuh dari agama suaminya. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَزَقَهُ اللهُ امْرَأَةً صَالِحَةً، فَقَدْ أَعَانَهُ عَلَى شَطْرِ دِينِهِ

Maksudnya: “Siapa yang Allah rezekikan padanya isteri yang solehah, maka sebenarnya Allah telah membantunya pada separuh agamanya.”

Riwayat al-Hakim (2681) dan al-Baihaqi (5487) di dalam Syu‘ab al-Iman. Al-Albani menghukum hadith ini (1916) bertaraf Hasan li Ghairih di dalam Sahih al-Taghrib.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita pasangan yang soleh dan solehah yang dapat membantu kita melayari bahtera perkahwinan berlandaskan syara‘, serta dapat membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam