#4715: Jenis Perhiasan Bagi Perempuan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah jenis perhiasan bagi seorang perempuan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wanita adalah sebahagian keindahan dunia yang diciptakan Allah SWT. Namun, wanita jualah yang boleh menjadi penyebab kepada kerosakan dan kemusnahan di dunia ini. Allah SWT menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan untuk dijadikan pasangan buat kaum Adam. Tatkala Nabi Adam A.S memohon kepada Allah SWT agar menciptakan seorang teman untuknya berbicara, bergurau senda dan membina sahsiah dirinya, maka terciptalah Hawa A.S daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam A.S. Apa yang diidamkan oleh kaum lelaki dalam membina keluarga bahagia ialah wanita solehah yang berperanan sebagai penyejuk mata, penenang hati dan penajam fikiran untuk para suami berbakti di jalan Allah SWT.

Wanita solehah ialah isteri yang taat kepada Allah SWT dan rasul-Nya, sekaligus membawa rumah tangga menuju ketenteraman dan syurga. Rumah tangga yang tenteram, nyaman dan bahagia adalah kurniaan yang paling berharga dalam kehidupan dunia. Rumah tangga yang dipimpin oleh suami yang soleh didampingi pula isteri yang solehah akan menjadikan rumah tangga itu dipenuhi keberkatan, melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, serta mendapat keredhaan dan rahmat Allah SWT. Ia adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagaimana hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan daripada gambaran Islam mengenai perhiasan bagi seorang wanita kita boleh bahagika kepada dua iaitu perhiasan dari segi fizikal dan perhiasan dalaman atau rohani. Kami perincikan sepertimana berikut:

Pertama: Perhiasan fizikal

Yang dimaksudkan dengan keindahan fizikal adalah ciptaan wanita, ia adalah pemberian Allah. Tidak ada tindakan yang dilakukan oleh wanita dalam hal ini, tetapi Allah telah mengkhususkan kecantikan itu dengan bentuk yang berbeza-beza dan kecantikan ini adalah hasil dari kelebihan penciptaan di mana Allah SWT berfirman:

 يَزِيدُ فِي الْخَلْقِ مَا يَشَاءُ ۚ

Maksudnya: Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya.

(Surah Fatir:1)

Para ulama mengatakan, itu adalah suara yang merdu dan rupa yang indah. Manusia tidak memiliki keupayaan untuk mengubah atau menolak kecantikan luaran ini, juga tidak mampu memperolehnya melalui usaha sendiri. Ia adalah hasil dari keadaan yang diciptakan oleh Sang Pencipta, sebagai anugerah-Nya kepada manusia. (Lihat al-Zawaj al-Islami,hlm.112)

Seorang isteri wajib berhias untuk suaminya. Ia adalah hak suami ke atas isteri untuk melakukan yang sedemikian. Kecantikan hanya ditujukan kepada suami, itu adalah kewajipan baginya dan hak baginya yang tidak akan berkurang meskipun sebahagian besar usia telah berlalu. (Lihat al-Mar’ah fi Tasawwur al-Islam, hlm.117)

Oleh itu, adalah penting bagi isteri Muslimah untuk menjadikan keutamaannya untuk memperbaiki penampilannya, supaya terlihat di hadapan suaminya dengan cara yang baik dan gambaran yang indah. Jika suaminya memandanginya, ia menyebarkan kegembiraan, kebahagiaan, dan keredhaan  di dalam dirinya.

Kedua : Perhiasan dalaman (Rohani)

Ia merupakan kecantikan yang menghasilkan rumah tangga yang bahagia, serta pasangan yang saling mendamaikan. Ia adalah kecantikan yang kekal yang tidak diubah oleh tahun-tahun dan tidak dipadamkan oleh masa, malah kekal seiring dengan kehidupan manusia. Pasangan, terutama isteri, mampu untuk membangunkan dan menyempurnakannya. Ini adalah kecantikan sejati, sedangkan yang lain hanyalah lapisan palsu yang berubah-ubah kalangan manusia. Apa yang dilihat sebagai cantik oleh sesetengah orang, mungkin dianggap buruk oleh yang lain, tetapi kecantikan dalaman adalah yang kekal kerana ia abadi. (Lihat al-Zawaj wa Adab al-Zifaf, hlm. 89)

Keimanan kepada Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi adalah perhiasan bagi jiwa. Dari keimanan  itu timbul sifat-sifat terpuji seperti kejujuran, kesabaran, ketakwaan, ilmu, dan rasa malu, yang merupakan sifat-sifat positif bagi jiwa. Tidak diragukan lagi, salah satu perkara yang memberi kegembiraan kepada lelaki dari isterinya adalah mentaati segala  perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya serta beribadah dan membesarkan-Nya.

Justeru sebagai kesimpulannya kami katakan bahawa pada wanita, terdapat dua jenis perhiasan, dan di antara perhiasan tersebut  yang terbaiknya adalah wanita yang solehah. Kecantikan rohani mampu mengatasi kekurangan yang terlihat dan ia menyembunyikannya, sementara keburukan dalaman mampu mengalahkan kecantikan luaran dan ia menyembunyikannya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan :74)

Wallahua’lam