#472 Jin dan Syaitan Dapat Melihat Aurat Manusia

 

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Benarkah jin dan syaitan boleh melihat aurat kita? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan ini, kami datangkan firman Allah SWT:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”

(Surah al-A‘raf: 27)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa syaitan itu serta keturunan dan bangsanya dapat melihat manusia, sedangkan manusia tidak bolehatau mampu untuk melihat mereka. Oleh itu, jaga-jaga dan berhati-hatilah dengan mereka itu. Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan syaitan-syaitan itu penolong (pembela) bagi orang-orang kafir yang tidak mengesakan Allah dan tidak membenarkan rasul-rasul-Nya serta tidak mengamalkan petunjuk-Nya — yang telah dibawa oleh para rasul-Nya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 153.)

Oleh itu, berdasarkan kepada keumuman ayat tersebut, menunjukkan bahawa syaitan dan jin boleh melihat kita sekalipun kita tidak boleh melihat mereka. Ertinya mereka boleh melihat kita dalam semua keadaan, sama ada kita sedang memakai pakaian atau menanggalkannya. Begitu juga, ketika kita sedang menunaikan hajat di dalam tandas, sedang mandi, makan dan lain-lain.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سِتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ، وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا وَضَعُوا ثِيَابَهُمْ أَنْ يَقُولُوا : بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:Penghalang — yakni hijab — antara pandangan mata jin dan aurat Bani Adam ketika membuka pakaian adalah membaca bismillah.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (2504)

Begitu juga, terdapat riwayat lain daripada Ali bin Abu Talib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سِتْرُ مَا بَيْنَ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ الْكَنِيفَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:Penghalang — yakni hijab — antara pandangan mata jin dan aurat Bani Adam, ketika memasuki kanif — yakni tempat buang air — adalah membaca bismillah.”

Riwayat Ibn Majah (297); al-Tirmizi (606) dengan sedikit perbezaan.

Justeru, dapat difahami daripada dua riwayat di atas bahawa jin dan syaitan ada kemampuan untuk melihat aurat anak Adam. Oleh sebab itu, kita diperintahkan untuk membaca basmalah atau “بِسْمِ اللَّهِ” serta berdoa memohon perlindungan Allah SWT bagi mencegah mereka daripada melihat aurat kita, kerana jika tidak sudah tentu kita tidak diperintahkan untuk membaca basmalah bagi tujuan berlindung daripada pandangan mata mereka. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita terpaksa membukanya demi suatu keperluan seperti menyalin pakaian, membuang air besar atau kecil, berjimak dan lain-lain.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jin dan syaitan mampu untuk melihat aurat manusia. Akan tetapi perkara tersebut tertakluk dengan izin Allah SWT. Oleh sebab itu, jika Allah tidak mengizinkannya, maka mereka sama sekali tidak akan dapat melihat aurat anak Adam. Atas dasar itu jugalah, Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita doa-doa dan memerintahkan kita agar sentiasa mengiringi setiap tindak-tanduk dan perbuatan kita dengan doa dan bacaan basmalah. Hal ini kerana bacaan basmalah itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam yang mana jin dan syaitan tidak akan mampu untuk membukanya.

Selain itu, kami juga ingin mengambil kesempatan di sini menasihatkan semua agar sedaya upaya mengelakkan diri daripada mendedahkan aurat tanpa keperluan sekalipun kita bersendirian. Seterusnya, ingatlah sebagai seorang Muslim, kita merupakan hamba Allah SWT dalam setiap keadaan. Allah SWT sentiasa mengawasi kita dan hanya kepada-Nya sahajalah kita memohon pertolongan. Inilah antara bukti kesempurnaan syariat agama ini, yang merangkumi adab-adab yang sepatutnya setiap orang Islam mempelajarinya dan menjaganya — yakni beramal dengannya — merangkumi setiap aktiviti siang malam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 14 Februari 2022 bersamaan 12 Rejab 1443H