#4720: Adab Ketika Berinteraksi dan Berbual

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boterangkan kepada kami apakah adab berbual dan berinteraksi yang diajarkan oleh syara’  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةً لَّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

(Surah al-Ahzab: 21)

Abu al-Hasan al-Nadwi berkata:

  • Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
  • Jika anda telah mencapai umur tua, maka, Baginda SAW adalah contoh anda.
  • Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
  • Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
  • Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
  • Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
  • Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
  • Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya.

Baginda SAW telah mentarbiyah manusia yang terkenal dengan zaman Jahiliyah kepada suasana Islam dan mempunyai saykhsiah Islamiyah yang unggul. Akhlak yang dibina oleh Rasulullah telah menukar watak sahabat dengan semua perilaku, perangai dan akhlak yang buruk kepada yang terunggul dan terbaik. Justeru, tidak hairanlah Rasulullah SAW telah mengkanunkan dengan kanun akhlak yang mencapai kepada tahap yang mulia dan peradaban yang tinggi.

Bagaimana Rasulullah SAW telah membetulkan semua akhlak yang buruk serta pincang kepada akhlak yang soleh, bahkan mempunyai makarim al-akhlaq. Benarlah sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

Riwayat Ahmad (8952). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan kemampuan untuk berbicara dan menyampaikan adalah salah satu anugerah yang diberikan oleh Allah kepada manusia. Keterampilan berbicara dan berinteraksi dengan orang lain adalah salah satu kunci kejayaan dalam hidup. Firman Allah SWT:

ٱلرَّحْمَـٰنُ ١ عَلَّمَ ٱلْقُرْءَانَ ٢ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ ٣ عَلَّمَهُ ٱلْبَيَانَ ٤

Maksudnya: (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. (1) Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2) Dia lah yang telah menciptakan manusia; – (3) Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.

(Surah al-Rahman:1-4)

Allah SWT memerintahkan umat-umat terdahulu mahupun yang terkemudian agar berinteraksi dengan baik dan menjaga adab dalam perbualan. Firman Allah SWT:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksud: Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik

(Surah al-Baqarah:83)

Al-Sa‘di ketika mengulas ayat ini menyebutkan, termasuk di dalam perkataan-perkataan yang baik itu adalah menyeru mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran, mengajarkan mereka ilmu pengetahuan, menyebarkan salam serta senyuman, dan lain-lain perkara yang termasuk dalam lingkungan kata-kata yang baik. Apabila tidak semua manusia mampu untuk membantu orang lain dengan hartanya, maka mereka diperintahkan untuk berbuat baik kepada setiap makhluk dengan perkara yang mereka mampu iaitu berbicara dengan kata-kata yang baik. Termasuklah di dalamnya, larangan daripada berbicara kepada sesama manusia dengan perkataan yang buruk sekalipun kepada orang kafir. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 57)

Terdapat riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Ghanm, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

شِرَارُ عِبَادِ اللهِ الْمَشَّاءُونَ بِالنَّمِيمَةِ، الْمُفَرِّقُونَ بَيْنَ الْأَحِبَّةِ، الْبَاغُونَ الْبُرَآءَ الْعَنَتَ

Maksudnya: “Sejahat-jahat hamba Allah ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah-belahkan antara orang yang berkasih sayang, yang mencacatkan orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.”

Riwayat Ahmad (17998)

Antara adab-adab berbicara dan berinteraksi adalah sepertimana berikut:

  • Memikirkan kata-kata sebelum mula menuturkannya.

Seorang Muslim seharusnya memikirkan perkataannya. Jika ia baik, maka ucapkanlah. Jika ia buruk, hendaklah ditahan. Jika ia tidak berguna, jangan diucapkan. Sebaliknya, jika seseorang bercakap-cakap dengan apa sahaja yang terlintas di lidahnya, dengan itu ia membuka dirinya kepada kesilapan.

  • Memastikan apa yang akan diperkatakan itu adalah perkara yang sahih

Seorang Muslim tidak sepatutnya menjadikan dirinya sebagai penyebar kepada desas-desus dan perkataan yang tidak ada dasarnya atau diubah maksudnya. Firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya:  Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

(Surah al-Isra’:36)

  • Pembicaraan sejajar dengan pemahaman

Seorang Muslim, dalam berucap kepada orang lain, hendaklah menggunakan gaya dan cara yang difahami oleh pihak yang diajak untuk berinterkasi tersebut, bukan hanya cara yang difahami oleh dirinya sendiri. Hendaklah  berinteraksi dengan orang lain berdasarkan realiti, persekitaran, dan budaya mereka. Diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أُمِرْنا أن نُكَلِّمَ النّاسَ على قَدرِ عقولِهِم

Maksudnya:  Kami diperintahkan untuk berbicara kepada manusia mengikut tahap pemahaman mereka.

Riwayat al-Daraqutni dalam al-Afrad(250398)

  • Sambutan dari pembicara atau penceramah kepada hadirin

Hendaklah  penceramah atau pembicara  menyambut semua pendengarnya dengan pandangan yang  menyeluruh kepada hadirin serta perbualan dan senyumannya. Rasulullah ketika berbicara dengan para sahabatnya, setiap individu merasakan bahawa beliau lebih dekat dan lebih disayangi oleh Rasulullah SAW daripada yang lain, ini disebabkan perhatian yang sangat besar daripada beliau kepada mereka semua. Bahkan, Rasulullah akan menghadap wajahnya kepada orang-orang yang kurang disukai untuk mencuba merapatkan hubungan.

  • Mendengar dan memberi perhatian kepada pembicara.

Ini bermaksud pendengar harus mendengar dengan penuh perhatian untuk memahami apa yang didengarnya. Para sahabat R.Anhum, apabila Rasulullah SAW berbicara kepada mereka, mereka mendengarkan dengan penuh hormat dan penuh perhatian. Sebaliknya, Rasulullah SAW juga mendengarkan dengan penuh perhatian kepada sesiapa yang berbicara atau bertanya kepada Baginda.

  • Menjaga Lisan dari berkata yang tidak elok

Diwajibkan ke atas muslim untuk menajaga lisan dari berkata tentang perkara-perkara yang buruk. (Lihat Akhlak al-Islam wa Akhlak Duatihi,hlm.  60-64)

Diriwayatkan daripada  Abdullah Bin Mas’ud bahawa Rasulullah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سِبابُ المُسْلِمِ فُسُوقٌ

Maksudnya: Mencela orang muslim itu adalah kefasikan

Riwayat Bukhari(6044)

Oleh itu, seorang Muslim perlu memelihara adab dan tata susila serta  nilai-nilai Islam dalam setiap interaksi dan perbualan. Ini kerana dalam ajaran Islam, seorang Muslim diarahkan untuk menjauhi segala bentuk kejahatan, termasuk mengkritik atau membincangkan perkara yang tiada manfaatnya. Rasulullah SAW menegaskan pentingnya memelihara kebaikan dalam interaksi dengan orang lain, menjadikan nilai-nilai Islam sebagai panduan utama dalam setiap aspek kehidupan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam