#4721: Pekerjaan yang Paling Baik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah pekerjaan yang paling baik? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, para ulama berselisih pendapat berkenaan yang paling baik bagi mendapatkan rezeki atau pendapatan kepada beberapa pendapat.

Pendapat pertama: Imam al-Syafi‘i berpendapat pekerjaan yang paling baik adalah berniaga.

Kami katakan bahawa tidak dapat dinafikan bahawa berniaga merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji. Ini kerana, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda SAW dilantik menjadi Rasul. Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi SAW bersama bapa saudaranya, Abu Talib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga. Selain itu, Nabi SAW juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid R.Anha dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain.

Tambahan pula, terdapat ramai daripada kalangan sahabat yang menceburkan diri mereka di dalam pelbagai jenis perniagaan. Antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin ‘Affan, ‘Abd al-Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa‘ad bin Abu Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan ramai lagi daripada kalangan sahabat. Di samping itu juga, Imam Abu Hanifah iaitu pengasas mazhab Hanafi juga merupakan seorang peniaga. Ini kerana, bapanya juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Terdapat banyak lagi kisah-kisah yang membuktikan bahawa perniagaan merupakan di antara sumber utama rezeki seseorang itu.

Pendapat kedua: Imam al-Mawardi menyatakan, menurutku bahawa bercucuk tanam adalah lebih utama, kerana ia lebih mendekati kepada tawakal.

Pendapat ketiga: Imam al-Nawawi pula menyatakan, pekerjaan yang paling baik adalah sebagaimana yang dinaskan dalam hadith:

مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

Maksudnya: “Tidak ada satu makanan pun yang dimakan oleh seseorang, yang lebih baik selain daripada hasil usaha sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud memakan makanan hasil dari usaha Baginda sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (2072)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan, jika seorang lelaki membuat usaha dengan tangannya melalui pertanian, itu adalah pendapatan yang lebih baik dan afdhal, kerana ia melibatkan kerja tangan, mengandungi unsur tawakal, memberi manfaat kepada umat Islam dan juga haiwan kerana secara umumnya, hasilnya akan dimakan tanpa sebarang gantian/upah, maka dia akan memperoleh ganjaran pahalanya.

Pendapat keempat: Al-Hafiz Ibn Hajar berpendapat, pendapatan yang paling baik daripada orang kafir adalah melalui jihad kerana ia merupakan sumber pendapatan Nabi SAW dan juga kerana melalui jihad juga kalimah Allah ditinggikan — ditegakkan.

Begitu juga Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di turut menyatakan, para ulama berselisih pendapat mengenai pendapatan/pekerjaan dunia yang lebih utama. Ada di antara mereka yang lebih memilih pertanian, ada yang lebih memilih perniagaan, dan ada pula yang lebih memilih penghasilan suatu produk dengan hasil kerja tangan.

Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam telah membuat kesimpulan bahawa pekerjaan yang terbaik adalah pekerjaan yang disesuaikan mengikut keadaan setiap orang. Apa yang pentingnya adalah pekerjaan tersebut mestilah berisi dengan kebaikan, tidak ada penipuan, dan melaksanakan segala tanggungjawab pekerjaan tersebut dari segenap sudut.

Inilah juga sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitabnya, Taudhih al-Ahkam (3/412; 4/220-221)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami juga berpendapat bahawa pekerjaan yang terbaik adalah pekerjaan atau pendapatan yang diperoleh hasil daripada tangannya sendiri (yakni usahanya sendiri), tidak kira pekerjaan tersebut sama ada berbentuk perniagaan, pertanian dan lain-lain, di mana pekerjaan tersebut adalah sesuai mengikut keadaan orang tersebut, apabila ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tidak ada penipuan, menjaga amanah dan dilaksanakan segala tanggungjawab yang berkaitan dengan pekerjaan tersebut sebaik-baiknya. Inilah pekerjaan yang terbaik menurut kami.

Lebih-lebih lagi di sana, terdapat hadith Nabi SAW untuk sama-sama direnungi:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan (atau pekerjaan) hendaklah buat secara tekun.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (897)[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

 

Nota kaki: 

[1] Al-Tabarani menyatakan, hadith ini tidak diriwayatkan daripada Hisyam melainkan melalui jalur Mus‘ab dan Bisyr telah bersendiri dalam meriwayatkan hadith ini. (Lihat al-Mu‘jam al-Ausat, 1/275). Al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (1855) menilainya sebagai hasan.