#4723: Syirik Pertama di Dunia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bilakah berlakunya amalan syirik pertama di muka bumi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Para ulama’ terdahulu mengatakan, syirik pertama berlaku pada zaman Nabi Nuh A.S. Baginda A.S diutuskan sebagai Rasul pertama dalam Islam kepada umat manusia. Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW menceritakan tentang keadaan di hari akhirat, di manusia mencari-cari syafaat dari para nabi dan rasul. Baginda bersabda:

فَيَأْتُونَ نُوحًا، فَيَقُولُونَ: يَا نُوحُ، أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ، وَسَمَّاكَ اللَّهُ عَبْدًا شَكُورًا، أَمَا تَرَى إِلَى مَا نَحْنُ فِيهِ، أَلاَ تَرَى إِلَى مَا بَلَغَنَا، أَلاَ تَشْفَعُ لَنَا إِلَى رَبِّكَ؟

Maksudnya: “Mereka datang kepada Nuh A.S dan berkata: ‘Wahai Nuh, engkau ialah Rasul yang pertama kepada penduduk bumi, dan Allah menamakan dirimu sebagai hamba yang banyak bersyukur. Tidakkah engkau melihat keadaan yang telah kami alami? Apakah engkau tidak melihat apa yang telah menimpa kami? Tidakkah engkau meminta syafaat daripada Tuhanmu untuk kami?’.”

Riwayat al-Bukhari (3340) dan Muslim (194)

Kisah syirik ini apabila kaum Nabi Nuh A.S bersikap ghuluw terhadap orang-orang soleh pada zaman itu, dan antara orang-orang soleh itu adalah Wadd, Suwa‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr. Ghuluw itu seperti yang disebutkan oleh Ibn Faris, meninggi dan melebihi had. (Lihat Maqayis al-Lughah, 4/387)

Imam Taqiy al-Din Abu al-‘Abbas Ibn Taimiyyah mengatakan, ghuluw itu melampaui batasan yang diizinkan oleh syara‘, sama ada dalam mencela atau memuji, melebihi apa yang selayaknya. (Lihat Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim li Mukhalafah Ashab al-Jahim, 1/328)

Oleh kerana perbuatan kaum Nabi Nuh A.S yang ghuluw sehingga berlaku syirik inilah, Allah SWT mengutuskan Nabi Nuh A.S bagi menyampaikan dakwah tauhid. Firman Allah SWT:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَقَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ إِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍۢ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: ‘Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (pada hari kiamat)’.”

(Surah al-A‘raf: 59)

Imam Ibn Kathir menukilkan daripada pandangan Ibn ‘Abbas R.A dan ramai ahli tafsir tentang ayat ini, katanya bahawa benda pertama yang disembah selain Allah SWT adalah patung-patung orang soleh yang telah meninggal dunia dari satu kaum. Kaum mereka telah membina di atas kubur binaan-binaan dan mengukir rupa mereka pada binaan tersebut, agar dapat memperingati keadaan mereka (yang soleh) dan ibadah mereka, lalu mereka pun ingin mengikuti amal orang-orang soleh itu.

Apabila berlalunya masa, mereka mula membuat tubuh badan pula. Sehinggalah berlanjutan masa itu, cucu cicit mereka mula menyembah patung-patung tersebut dan diberikan nama berdasarkan nama-nama orang soleh tersebut; Wadd, Suwa‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr. Apabila keadaan menjadi semakin teruk, Allah SWT mengutuskan Rasul-Nya Nuh A.S untuk mengajak mereka menyembah Allah SWT sahaja tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain. (Lihat Tasir al-Quran al-‘Azim, 8/248)

Peristiwa syirik pertama ini turut dikisahkan di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

صَارَتِ الأَوْثَانُ الَّتِي كَانَتْ فِي قَوْمِ نُوحٍ فِي العَرَبِ بَعْدُ أَمَّا وَدٌّ كَانَتْ لِكَلْبٍ بِدَوْمَةِ الجَنْدَلِ، وَأَمَّا سُوَاعٌ كَانَتْ لِهُذَيْلٍ، وَأَمَّا يَغُوثُ فَكَانَتْ لِمُرَادٍ، ثُمَّ لِبَنِي غُطَيْفٍ بِالْجَوْفِ، عِنْدَ سَبَإٍ، وَأَمَّا يَعُوقُ فَكَانَتْ لِهَمْدَانَ، وَأَمَّا نَسْرٌ فَكَانَتْ لِحِمْيَرَ لِآلِ ذِي الكَلاَعِ، أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ، فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَى قَوْمِهِمْ، أَنِ انْصِبُوا إِلَى مَجَالِسِهِمُ الَّتِي كَانُوا يَجْلِسُونَ أَنْصَابًا وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ، فَفَعَلُوا، فَلَمْ تُعْبَدْ، حَتَّى إِذَا هَلَكَ أُولَئِكَ وَتَنَسَّخَ العِلْمُ عُبِدَتْ.

Maksudnya: “Patung-patung berhala yang ada di kalangan kaum Nuh pada masa lalu (turut) menjadi sembahan orang-orang Arab yang datang kemudiannya. Wadd milik suku Kalb di Daumatul Jandal, Suwa‘ pula milik suku Huzail, Yaghuth milik suku Murad, kemudian kepada Bani Ghutaif di Jurf berdekatan Saba’, adapun Ya‘uq pula milik suku Hamdan, dan Nasr milik suku Himyar, keturunan Ali Zi al-Kala‘. Nama-nama (berhala itu adalah nama) beberapa orang lelaki soleh daripada kaum Nabi Nuh. Setelah mereka meninggal, syaitan mengilhamkan kepada kaum mereka: ‘Hendaklah kalian membuat patung-patung pada majlis-majlis tempat mereka duduk, dan namakanlah mereka dengan nama-nama (sebenar) mereka.’ Mereka pun melakukannya dan patung-patung itu tidak disembah (pada awalnya). Sehingga setelah generasi itu meninggal dan ilmu (tentang asal-usul berhala) telah hilang maka patung-patung tersebut disembah.”

Riwayat al-Bukhari (4920)

Terdapat beberapa faedah yang dapat kita peroleh menerusi kisah kaum Nabi Nuh A.S ini, antaranya:

  • Melampau dalam memperbesarkan golongan soleh adalah perkara yang tidak dibenarkan dalam syara‘ kerana ia boleh mendorong kepada musibah yang lebih besar, iaitu kesyirikan.
  • Apabila ilmu itu kian terhapus dan dilupakan, lahirlah golongan-golongan jahil yang mendakwa diri mereka berilmu. Dan kesyirikan itu tidak tersebar dan berkembang melainkan dalam persekitaran yang jahil akan ilmu, tidak dihidangkan dengan dakwah tauhid.
  • Penyembahan patung-patung telah banyak menyesatkan umat manusia, bahkan fitnah patung-patung ini begitu dahsyat sehingga mampu membinasakan dunia. Allah SWT berfirman:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا ٱلْبَلَدَ ءَامِنًۭا وَٱجْنُبْنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعْبُدَ ٱلْأَصْنَامَ (٣٥) رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلنَّاسِ ۖ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia’.”

(Surah Ibrahim: 35-36)

Semoga Allah SWT menyelamatkan ahli keluarga kita serta orang Islam di dunia dari sebarang kesyirikan, dan diberikan pengakhiran yang baik dengan ucapan kalimah “Tiada tuhan selain Allah SWT” yang sentiasa tetap di hati. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ أَنْ نَشْرِكَ بِكَ وَنَحْنُ نَعْلَمُ، وَنَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لَا نَعْلَمُ

Maksudnya: “Wahai tuhan kami, kami berlindung dengan-Mu dari menyekutukan-Mu sedangkan kami tahu (perkara itu adalah syirik), dan kami memohon keampunan dari-Mu pada apa yang kami tidak tahu.”

Wallahu a‘lam