#4731: Menulis Wasiat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah perlu kepada kita untuk menulis wasiat sebelum meninggal dunia? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ إِن تَرَكَ خَيْرًا ٱلْوَصِيَّةُ لِلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ بِٱلْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى ٱلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 180)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu wasiat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, wasiat didefinisikan sebagai kehendak yang penghabisan yang di­sampaikan oleh orang yang hampir meninggal (bukan  harta benda dan lain-lain). Manakala Kamus Pelajar Edisi Kedua mendefinisikannya sebagai pesanan terakhir yang diucapkan atau yang telah ditulis oleh orang yang hampir meninggal dunia.[1]

Akan tetapi pengarang al-Fiqh al-Manhaji pula menyatakan, menurut bahasa, wasiat bermaksud sambung. Manakala menurut syarak pula wasiat ialah sedekah hak milik harta yang hanya dilaksanakan selepas kematian. Sedekah sebegini dinamakan wasiat kerana selepas kematian, pewasiat masih menerima hasil amalan baik di dunia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/41).

Keperluan untuk berwasiat ada dijelaskan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَيْءٌ يُوصِي فِيهِ، يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ إِلَّا وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidak selayaknya bagi seseorang muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan tidur selama dua malam melainkan wasiatnya sudah ditulis di sisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2738)

Justeru, kami katakan, menulis wasiat sepatutnya menjadi agenda bagi seseorang Islam kerana sebarang musibah dan kematian boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Maka selayaknya kita sentiasa beringat dan isu harta dapat dibahagikan dengan sebaik mungkin sehingga kita menghadap Allah dengan hati yang tenang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=wasiat. Diakses pada 29 November 2023.