#4733: Meninggalkan Waris Kaya atau dalam Keadaan Miskin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya mempunyai sejumlah harta, adakah saya sedekah semua atau beri semua harta saya kepada waris saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tanpa dinafikan bahawa sedekah adalah salah satu amalan mulia sehingga inilah kehendak terakhir seorang hamba apabila nyawanya di hujung halkum. Firman Allah SWT:

فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَآ أَخَّرْتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ قَرِيبٍۢ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Maksudnya: “(Kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ‘Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.’

(Surah al-Munafiqun: 10)

Al-Tabari menyatakan, maksud ayat ini adalah, wahai orang-orang yang beriman kepada-Ku dan Rasul-Ku, infakkanlah apa yang Kami rezekikan kepada kamu semua sebelum datang kematian pada salah seorang dari kamu, (di mana ketika itu) barulah dia berkata, “Tuhan, tolong undurkan kematianku, supaya aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang soleh dengan mengerjakan segala perintah-Mu.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 25/91)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: ‘فَأَصَّدَّقَ’, yakni supaya hamba dapat bersedekah dengan membayar zakat dan yang lainnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/593).

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa mulianya sedekah pada pandangan orang yang berada dalam sakaratul maut. Benarlah kata Abu Zar al-Ghifari R.A:

مَا عَلَى الْأَرْضِ صَدَقَةٌ تَخْرُجُ حَتَّى يُفَكَّ عَنْهَا لِحْيُ سَبْعِينَ شَيْطَانًا كُلُّهُمْ يَنْهَاهُ عَنْهَا

Maksudnya: “Tiadalah atas muka bumi ini mana-mana sedekah yang dikeluarkan sehinggalah janggut tujuh puluh syaitan tercabut semuanya melarang orang yang bersedekah itu daripada bersedekah.” (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 215)

Begitu juga terdapat riwayat yang hampir sama, daripada Buraidah bin al-Hasib al-Aslami R.A:

 مَا يُخْرِجُ رَجُلٌ شَيْئًا مِنَ الصَّدَقَةِ حَتَّى يَفُكَّ عَنْهَا لَحْيَيْ سَبْعِينَ شَيْطَانًا

Maksudnya: “Tiadalah yang dikeluarkan oleh seorang lelaki sesuatu pun daripada sedekah sehinggalah janggut tujuh puluh syaitan tercabut dengan sedekah tersebut.”

Riwayat Ahmad (22962), Ibn Khuzaimah (2457) dan al-Bazzar (4456). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan para perawinya adalah thiqah.

Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW telah memberi pendapatnya kepada Sa‘ad bin Abu Waqqas dengan menyatakan bahawa meninggalkan waris (ahli keluarga) dalam keadaan kaya itu adalah lebih baik daripada beliau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia dengan tangan-tangan mereka.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Amir bin Sa‘d, daripada Sa‘d bin Abu Waqqas R.A, katanya:

جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا بِمَكَّةَ، وَهُوَ يَكْرَهُ أَنْ يَمُوتَ بِالأَرْضِ الَّتِي هَاجَرَ مِنْهَا، قَالَ: يَرْحَمُ اللَّهُ ابْنَ عَفْرَاءَ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ؟ قَالَ: لاَ، قُلْتُ: فَالشَّطْرُ، قَالَ: لاَ، قُلْتُ: الثُّلُثُ، قَالَ: فَالثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ، وَإِنَّكَ مَهْمَا أَنْفَقْتَ مِنْ نَفَقَةٍ، فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ، حَتَّى اللُّقْمَةُ الَّتِي تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ، وَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَكَ، فَيَنْتَفِعَ بِكَ نَاسٌ وَيُضَرَّ بِكَ آخَرُونَ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ يَوْمَئِذٍ إِلَّا ابْنَةٌ

Maksudnya: “Nabi SAW datang menziarahiku dan (ketika itu) aku berada di Makkah, sedangkan Baginda tidak suka untuk meninggal dunia di tanah (negeri) yang Baginda telah berhijrah darinya. Baginda bersabda: ‘Semoga Allah merahmati Ibn ‘Afra’.’ Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, (bolehkah) aku mewasiatkan hartaku kesemuanya?’ Baginda menjawab: ‘Tidak boleh.’ Aku bertanya lagi: ‘Separuh?’ Baginda menjawab: ‘Tidak boleh.’ Aku bertanya lagi: ‘Sepertiga?’ Baginda bersabda: ‘Ya, sepertiga dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan waris (ahli keluarga) engkau dalam keadaan kaya itu adalah lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia dengan tangan-tangan mereka. Sesungguhnya apa sahaja yang engkau belanjakan sebagai nafkah, maka ia adalah (dikira sebagai) sedekah, sehingga (termasuk juga) suapan yang engkau suap ke mulut isterimu. Semoga Allah memanjangkan umurmu, lalu orang ramai mengambil manfaat daripada engkau dan sebahagian orang  yang lain mendapat mudarat daripada engkau.’” Beliau tidak memiliki waris pada ketika itu melainkan seorang anak perempuan.

Riwayat al-Bukhari (2742)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”