Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah makin akhir, maka zaman tersebut lebih teruk daripada zaman sebelumnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami setuju dengan kenyataan tersebut dan banyak dalil menunjukkan ke arah itu. Sebagai contoh, sabda Nabi SAW:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.”
Riwayat al-Bukhari (3651); Muslim (2533)
Ini menunjukkan zaman yang terbaik adalah zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabatnya, kemudian zaman tabiin, dan seterusnya zaman tabi’ tabiin. Ia dikenali sebagai al-qurun al-mufaddhalah.
Menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW menyebut hadith, kata Ibn Mas’ud
سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مِنْ شِرَارِ النَّاسِ مَنْ تُدْرِكْهُمُ السَّاعَةُ وَهُمْ أَحْيَاءٌ».
Maksudnya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Seburuk-buruk manusia adalah orang yang sempat menemui Hari Kiamat semasa mereka masih lagi hidup.”
Riwayat al-Bukhari (7067)
Dan pernah berlaku di zaman Anas bin Malik R.A, di mana al-Zubair bin ‘Adi berkata:
أَتَيْنَا أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ، فَشَكَوْنَا إِلَيْهِ مَا نَلْقَى مِنَ الحَجَّاجِ، فَقَالَ: «اصْبِرُوا، فَإِنَّهُ لاَ يَأْتِي عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلَّا الَّذِي بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ، حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ». سَمِعْتُهُ مِنْ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya: Kami datang kepada Anas bin Malik, lalu mengadu kepadanya tentang apa yang kami hadapi daripada al-Hajjaj. Kemudian, beliau berkata: “Bersabarlah, kerana sesungguhnya tidak datang kepada kalian suatu zaman melainkan yang selepasnya lebih buruk darinya, sehinggalah kalian bertemu dengan Tuhan kalian. Aku mendengarnya daripada Nabi kalian SAW.”
Riwayat al-Bukhari (7068)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”