Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada melihat satu video berkenaan sejenis siput yang dipanggil sebagai siput gonggong atau siput tarik yang mirip dengan siput babi, tetapi dalam video berkenaan siput itu dimakan dengan cara ditarik dengan lidi. Soalan saya, halalkah siput itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan siput gonggong itu. Siput gonggong, atau nama saintifiknya Laevistrombus canarium atau juga dikenali sebagai sinonim Strombus canarium, merupakan spesies siput boleh dimakan , moluska gastropod laut dalam keluarga Strombidae, konch sebenar. Spesies Indo-Pasifik, L. canarium hidup di dasar berlumpur dan berpasir, meragut algae dan detritus. Cengkerang individual dewasa berwarna perang muda hingga keemasan dan kelabu. Ia memiliki ciri gelung badan kembung, bibir kuar cengkerang gastropod tebal melebar, dan stromboid notch tirus. Sungguhpun ia dianggap bernilai sebagai hiasan, disebabkan kulitnya yang tebal dan padat, ia sering digunakan sebagai pemberat bagi jala ikan.[1]
Gambar atas: Lima gambaran cengkerang siput gonggong. (Sumber gambar: https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/1/14/Laevistrombus_canarium_turturella_01.JPG)
Bahkan di sesetengah kawasan seperti di Semporna Sabah ia termasuk dalam jenis makanan yang dimakan. Cara memakannya adalah dengan cara menarik isinya dengan lidi. Atas sebab itulah, ia juga dipanggil sebagai siput tarik.[2]
Memakan Siput Gonggong
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244).
Gambar di atas: Contoh hidangan berasaskan siput gonggong (Sumber gambar: https://encrypted-tbn2.gstatic.com/licensed-image?q=tbn:ANd9GcT9l5zizxil8E6pR8qYxcOdOxErcvDSTviFJE51kujuY-Hbyr_a-15_uXyfGPIgYnz1RkVt2fdAyp-qC4g)
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ
Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”
Riwayat al-Baihaqi (1211)[3]
Selain itu, semua haiwan yang dianggap termasuk dalam jenis ikan secara bahasa dan ‘uruf adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Bahkan turut dinukilkan ijma‘ ulama berkenaan keharusan memakan ikan berserta semua jenis-jenisnya daripada ramai ulama. Di antaranya adalah seperti yang disebutkan oleh Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijma‘ (hlm. 148), para ulama telah bersepakat bahawa ikan yang ditangkap dari laut, sungai, kolam dan mata air, apabila ditangkap hidup-hidup, disembelih, dan tangkapan itu dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah baligh, berakal dan tidak mabuk, maka memakannya adalah halal (dibolehkan).
Begitu juga Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ akan keharusan memakan ikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/86). Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan bahawa tidak ada khilaf di antara ulama berkenaan kehalalan untuk memakan ikan tanpa mengira jenis-jenisnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/619).
Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”
Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa siput gonggong atau siput tarik termasuk dalam haiwan laut yang halal dimakan berdasarkan kepada keumuman nas yang menghalalkan semua hidupan laut dan bangkainya selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan kepada pengharamannya dan tidak memudaratkan. Apatah lagi, ‘uruf dan adat setempat sesetengah kawasan termasuklah di negara kita turut menunjukkan bahawa ia dimakan dan tidak dianggap sebagai haiwan jijik.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Siput_gonggong. Diakses pada 30 November 2023.
[2] Destinasi TV, Masakan Seafood Segar Sabah di KL. (Lihat https://www.facebook.com/watch/?v=292467350427557. Diakses pada 30 November 2023)
[3] Imam al-Baihaqi menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.