#4745: Nabi SAW Pernah Memakan Dhab?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Nabi SAW pernah memakan Dhab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan takrif Dhab.

Dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai Dhab (ضَبّ) atau nama saintifiknya ialah Uromastyx aegyptia merupakan sejenis biawak yang terdapat di padang pasir. Dari segi sains ia dikelaskan sebagai dalam keluarga cicak. Ia boleh didapati serata Timur Tengah termasuk Mesir, Libya, Palestin, dan lain-lain. Ia sering duduk di kawasan kering dan berbatu.

Dhab membiak secara bertelur dan mempunyai kulit bersisik tebal. Selain itu, ia merupakan sejenis haiwan herbivor — memakan sayur-sayuran yang tinggi kadar air serta kekacang sebagai sumber protein. Ia menghabiskan banyak masanya di dalam lubang yang digalinya untuk menyembunyikan dirinya atau dicelah-celah batu-batu yang selamat untuknya berlindung.[1]

Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa Dhab merupakan haiwan darat sebagaimana yang diketahui umum — dalam kalangan masyarakat Arab — dan ia menyerupai biawak (الوَرَلُ). Nama julukannya ialah Abu Hisl (أَبُو حِسْلٍ) dan kata jamaknya ialah Dhibab (ضِبَابٌ) dan Adub (أَضُبٌّ), sebagaimana perkataan Kaff (كَفّ) dan Akuff (أَكُفّ). Manakala Dhab betina pula dipanggil sebagai Dhabbah (ضَبَّةٌ). Pepatah Arab ada menyebut — bagi menggambarkan keengganan mereka melakukan sesuatu —:

لَا أَفْعَلُهُ حَتَّى يَرِدَ الضَّبُّ

Maksudnya:Aku tidak akan melakukannya sehinggalah Dhab datang — ke air.”

Hal ini kerana Dhab tidak mendatangi air. Ibn Khalawaih menyebutkan bahawa Dhab tidak minum air dan hidup selama 700 tahun atau lebih. Dikatakan ia kencing sekali pada setiap 40 hari dan giginya tidak gugur. Begitu juga, dikatakan giginya itu pula hanya sebaris dan tidak berbahagi-bahagi. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/703)

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan bahawa dhab ialah haiwan yang menyerupai biawak (الوَرَلُ). Ia mampu hidup sekitar tujuh ratus tahun. Ia juga tidak minum air dan kencing sekali pada setiap 40 hari. Di samping itu, dhab betina memiliki dua alat kelamin betina dan dhab jantan juga memiliki dua alat kelamin jantan. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 4/259)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Rasulullah SAW tidak memakan Dhabb. Hal ini berdasarkan hadith daripada Taubah al-‘Anbari, katanya: al-Sya‘bi berkata kepadaku:

 أَرَأَيْتَ حَدِيثَ الحَسَنِ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ وَقَاعَدْتُ ابْنَ عُمَرَ قَرِيبًا، مِنْ سَنَتَيْنِ أَوْ سَنَةٍ وَنِصْفٍ، فَلَمْ أَسْمَعْهُ يُحَدِّثُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَيْرَ هَذَا، قَالَ: كَانَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِمْ سَعْدٌ، فَذَهَبُوا يَأْكُلُونَ مِنْ لَحْمٍ، فَنَادَتْهُمُ امْرَأَةٌ مِنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّهُ لَحْمُ ضَبٍّ. فَأَمْسَكُوا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُوا أَوِ اطْعَمُوا، فَإِنَّهُ حَلاَلٌ – أَوْ قَالَ: لاَ بَأْسَ بِهِ، شَكَّ فِيهِ – وَلَكِنَّهُ لَيْسَ مِنْ طَعَامِي».

Maksudnya: Apakah pendapat kamu berkaitan hadith al-Hasan daripada Nabi SAW? (Sya‘bi berkata): Aku pernah duduk bersama Ibn Umar selama hampir dua tahun atau setahun setengah. Sepanjang tempoh itu aku tidak pernah mendengar daripadanya riwayat hadith daripada Nabi SAW kecuali hadith ini, katanya: Sesungguhnya sebahagian daripada sahabat Nabi SAW, di antara mereka Sa’d, sedang memakan daging, lalu salah seorang daripada Isteri Nabi SAW berkata kepada mereka: “Sesungguhnya ini adalah daging Dhab,” lalu mereka terhenti (daripada memakannya). Maka Rasulullah SAW bersabda: “Makanlah atau jamahlah kerana ia adalah halal – atau sabda (Baginda): Tidak mengapa memakannya. (Syu‘bah berkata):  (Taubah al-‘Anbari) telah syak mengenainya –  akan tetapi ia bukan daripada makananku.”

Riwayat al-Bukhari (7267)

Betapa gambaran manusia akhir zaman sanggup mengikut golongan Yahudi dan Nasara hatta ke lubang Dhab sekalipun. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

Maksudnya: “Kamu akan mengikut jejak langkah cara hidup golongan sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak Dhab pun, kamu akan mengikuti mereka.” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah. Adakah mereka itu Yahudi dan Kristian.” Jawab Nabi, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”

Riwayat al-Bukhari (3456)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan, Ibnu Batthal berkata: Rasulullah SAW memberitahu bahawa umatnya akan mengikuti perkara-perkara baru daripada hal-hal bid’ah dan yang mengikut hawa nafsu sebagaimana yang berlaku kepada umat sebelum mereka. Baginda telah memberi amaran dalam banyak hadis tentang keadaan akhir zaman yang buruk. Kiamat tidak akan berlaku kecuali kepada manusia-manusia yang buruk. Ketika itu agama hanya dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. (Lihat Fath al-Bari, 13/301)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Dhab. Diakses pada 26 Januari 2022. Lihat juga https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/786434/ustaz-azhar-kini-penternak-dhab. Diakses pada 26 Januari 2022.