#4750: Kebenaran Pasti Wujud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah akan pasti akan ada di sepanjang zaman umat Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berpegang teguh dengan agamanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

(Surah al-Taubah: 122)

Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan memang akan ada golongan yang sentiasa bersama dengan kebenaran walaupun mungkin jumlah mereka sedikit kerana inilah janji Rasulullah SAW kepada kita. Kami kemukakan dua hadith:

Daripada al-Mughirah bin Syu‘bah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لاَ يَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ.

Maksudnya: “Akan sentiasa ada satu kelompok daripada umatku yang menegakkan (kebenaran) hingga datang kepada mereka perintah Allah (Hari Kiamat) dan mereka masih dalam keadaan menegakkan (kebenaran).”

Riwayat al-Bukhari (7311)

Daripada Humaid, katanya: Aku mendengar Mu‘awiyah bin Abu Sufyan berkhutbah, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ. وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَيُعْطِي اللَّهُ، وَلَنْ يَزَالَ أَمْرُ هَذِهِ الأُمَّةِ مُسْتَقِيمًا حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ – أَوْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ -.

Maksudnya: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya nescaya dia  diberi  kefahaman agama. Sesungguhnya aku hanya pembahagi dan Allah Pemberi,  dan sentiasalah urusan umat ini dalam keadaan  lurus sehingga Hari Kiamat terjadi – atau sehingga datang urusan Allah. – ”

Riwayat al-Bukhari (7312)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”