#4755: Kalimah yang Baik Sebagai Sedekah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kalimah yang baik atau ucapan yang baik dianggap sebagai sedekah? Jika ada, wujudkah dalil di sana?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya: dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik;

(Surah al-Baqarah: 83)

Daripada Abi Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa  yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam.”

Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)

Dinukilkan di sini ungkapan dan mutiara hikmah para ulama dan Salaf al-Soleh antaranya:

  • Ibn Mas’ud berkata: “Awasilah kamu daripada percakapan sia-sia cukuplah bagi seseorang sekadar apa yang menyampaikan hajatnya.”
  • Al-Nakhaie berkata: “Binasanya manusia dengan sebab lebihnya harta dan kalam (percakapan).”
  • Ibn Umar berkata: “Jangan banyakkan kalam (percakapan) tanpa zikrullah. Hal ini kerana banyaknya kalam tanpa zikrullah akan mengeraskan hati.” Riwayat al-Tirmizi.
  • Umar al-Khattab berkata: “Sesiapa yang banyak kalamnya, maka banyak salahnya. Dan sesiapa yang banyak salahnya, banyak dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya, neraka lebih aula (utama) baginya.” Riwayat al-Tabarani.
  • Fudhail Bin Iyyadh berkata: “Tidaklah haji dan juga berjihad lebih sukar daripada memelihara lidah.” (Lihat al-Kafi, 171)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan, ya benar, kalimah yang baik juga dianggap sebagai sedekah. Hal ini berdasarkan kepada hadith:

Abu Hurairah R.A berkata, daripada Nabi SAW:

الكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Perkataan yang baik adalah sedekah.”

Daripada ‘Adi bin Hatim R.A, beliau berkata:

ذَكَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّارَ، فَتَعَوَّذَ مِنْهَا وَأَشَاحَ بِوَجْهِهِ، ثُمَّ ذَكَرَ النَّارَ فَتَعَوَّذَ مِنْهَا وَأَشَاحَ بِوَجْهِهِ، – قَالَ شُعْبَةُ: أَمَّا مَرَّتَيْنِ فَلاَ أَشُكُّ – ثُمَّ قَالَ: اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ

Maksudnya: “Nabi SAW menyebutkan neraka, lalu Baginda berdoa memohon perlindungan daripadanya dan memalingkan wajahnya, kemudian Baginda menyebutkan neraka dan berdoa memohon perlindungan daripadanya serta memalingkan wajahnya.” Syu‘bah berkata: “Adapun dua kali maka aku tidak ragu-ragu.” Kemudian Baginda bersabda: “Takutlah kalian akan api neraka walaupun (dengan bersedekah) setengah biji kurma. Jika kamu tidak mendapatkan, maka dengan perkataan yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (6023)

Betapa mudahnya kita meraih pahala dengan hanya bercakap yang baik sebahagian daripada tanda rahmat dan ihsannya Allah SWT kepada kita. Semoga kita sentiasa mendapat kebaikan dalam hidup.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”