#4758: Nasyid Para Sahabat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ada orang kata, semasa mereka menggali parit atau khandaq pada tahun 5 Hijrah yang telah dibahagikan kawasannya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar, mereka akhirnya bernasyid? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ حَرِّضِ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَى ٱلْقِتَالِ ۚ

Maksudnya: “Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang.”

(Surah al-Anfal: 65)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, doronglah dan paculah mereka untuk berperang dengan apa yang boleh menguatkan keazaman mereka dan mencetuskan semangat mereka, dengan memberikan anjuran dan janji pahala jihad dan memerangi musuh, serta memberikan ancaman dan janji dosa terhadap sebaliknya, menjelaskan keutamaan sabar dan keberanian, serta apa yang dihasilkannya dalam bentuk kebaikan dunia dan akhirat, menjelaskan bahaya sifat pengecut, dan bahawa ia adalah akhlak tercela yang menodai agama dan muru’ah, dan orang beriman lebih berhak untuk berani daripada orang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/325).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, semasa para sahabat menggali parit atau khandaq pada tahun 5 Hijrah yang telah dibahagikan kawasannya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar, mereka akhirnya bernasyid.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Humaid, katanya: Aku mendengar Anas R.A berkata:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الخَنْدَقِ، فَإِذَا المُهَاجِرُونَ وَالأَنْصَارُ يَحْفِرُونَ فِي غَدَاةٍ بَارِدَةٍ، فَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ عَبِيدٌ يَعْمَلُونَ ذَلِكَ لَهُمْ، فَلَمَّا رَأَى مَا بِهِمْ مِنَ النَّصَبِ وَالجُوعِ، قَالَ: اللَّهُمَّ إِنَّ العَيْشَ عَيْشُ الآخِرَهْ، فَاغْفِرْ لِلْأَنْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ» فَقَالُوا مُجِيبِينَ لَهُ: نَحْنُ الَّذِينَ بَايَعُوا مُحَمَّدَا عَلَى الجِهَادِ مَا بَقِينَا أَبَدَا

Maksudnya: Rasulullah SAW keluar (berangkat) ke Khandaq. Ketika itu kaum Muhajirin dan Ansar sedang menggali parit di pagi hari yang sangat dingin (sejuk). Mereka tidak mempunyai (tenaga kerja) hamba-hamba untuk mengerjakan hal tersebut untuk mereka. Ketika Baginda melihat mereka penat dan lapar, Baginda bersabda: “Ya Allah, sesungguhnya kehidupan (sebenar) ialah kehidupan akhirat, maka ampunilah kaum Ansar dan Muhajirin.” Mereka menjawab: “Kami orang-orang yang berbai‘ah kepada Muhammad, untuk berjihad selagi hayat dikandung badan.

Riwayat al-Bukhari (2834)

Begitu juga riwayat daripada Anas R.A, katanya:

جَعَلَ الْمُهَاجِرُونَ وَالأَنْصَارُ يَحْفِرُونَ الخَنْدَقَ حَوْلَ الـمَدِينَةِ، وَيَنْقُلُونَ التُّرَابَ عَلَى مُتُونِهِمْ، وَيَقُولُونَ: نَحْنُ الَّذِينَ بَايَعُوا مُحَمَّدَا عَلَى الإِسْلاَمِ مَا بَقِينَا أَبَدَا، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجِيبُهُمْ وَيَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنَّهُ لاَ خَيْرَ إِلَّا خَيْرُ الآخِرَهْ فَبَارِكْ فِي الأَنْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ

Maksudnya: “Kaum Muhajirin dan Ansar menggali parit di sekitar Madinah. Mereka memikul tanah di atas bahu mereka sambil berkata: “Kami orang-orang yang membai‘ah Muhammad. Untuk tetap berjihad selama hayat dikandung badan.” Nabi SAW menyambut ucapan mereka dengan bersabda: “اللَّهُمَّ إِنَّهُ لاَ خَيْرَ إِلَّا خَيْرُ الآخِرَهْ فَبَارِكْ فِي الأَنْصَارِ وَالمُهَاجِرَهْ” (Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya tidak ada kebaikan selain kebaikan akhirat, berkatilah untuk kaum Ansar dan Muhajirin.”).”

Riwayat al-Bukhari (2835)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”