#4760: Memuji Berlebihan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang itu memuji berlebihan kepada saudaranya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, perlu difahami kesan daripada puji terkadang-kadang seseorang itu rebah dan tenggelam di sebalik pujian sehingga membawa perasaan riyak, ujub dan takabbur. Wal iyazu billah.

Dengan sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

ثَـلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ : شُحٌّ مُطَاعٌ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ، وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tiga perkara yang membinasakan (iaitu) bakhil yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dan takjubnya seseorang terhadap dirinya sendiri.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5448), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (731). Hadith ini dinilai sebagai hadith hasan sepertimana disebut dalam kitab Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (1802)

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari telah menyebut satu tajuk, Bab Apa yang Tidak Disukai daripada Perbuatan Saling Memuji. Antaranya, daripada Abu Musa al-Asy’ari R.A, katanya:

 سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُثْنِي عَلَى رَجُلٍ وَيُطْرِيهِ فِي المِدْحَةِ فَقَالَ: «أَهْلَكْتُمْ، – أَوْ: قَطَعْتُمْ – ظَهْرَ الرَّجُلِ»

Maksudnya: Nabi SAW mendengar seorang lelaki ini memuji lelaki lain dan dia sedang berlebih-lebihan dalam pujian itu, maka Baginda pun bersabda: “Kamu telah membinasakan,” – atau perawi syak: Kamu telah menetak – belakang lelaki itu.”

Riwayat al-Bukhari (6060)

Begitu juga, daripada Abi Bakrah R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا ذُكِرَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَثْنَى عَلَيْهِ رَجُلٌ خَيْرًا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «وَيْحَكَ، قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ – يَقُولُهُ مِرَارًا – إِنْ كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا لاَ مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ: أَحْسِبُ كَذَا وَكَذَا، إِنْ كَانَ يُرَى أَنَّهُ كَذَلِكَ، وَحَسِيبُهُ اللَّهُ، وَلاَ يُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا» قَالَ وُهَيْبٌ، عَنْ خَالِدٍ: وَيْلَكَ.

Maksudnya: Bahawasanya disebut mengenai seorang lelaki di sisi Nabi SAW, lalu seorang lelaki (lain) pun memujinya dengan kebaikan (dengan berlebihan), maka Nabi SAW pun bersabda: “Semoga Allah merahmati engkau, (sesungguhnya) engkau telah memenggal leher sahabatmu” – (dan) Baginda mengatakannya berulang kali (seraya bersabda lagi:) — “Jika salah seorang daripada kamu tidak dapat tidak daripada memuji, maka hendaklah dia mengatakan: “Aku mengira (si fulan itu) begini dan begini,” jika dia berpandangan bahawa orang itu sedemikian, (dan katakanlah juga:) “(kerana sesungguhnya) Allah jualah yang menilainya.” Dan janganlah seseorang mensucikan (memuji) orang lain mengatasi Allah SWT. Wuhaib berkata, daripada Khalid: “Dengan lafaz ‘وَيْلَكَ’ (pada tempat ‘وَيْحَكَ’).

Riwayat al-Bukhari (6061)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”