#4762: Kisah Lumba Kuda

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah zaman nabi terdapat latihan lumba kuda dan di mana tempat tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَٱلْعَـٰدِيَـٰتِ ضَبْحًۭا ١ فَٱلْمُورِيَـٰتِ قَدْحًۭا ٢ فَٱلْمُغِيرَٰتِ صُبْحًۭا ٣ فَأَثَرْنَ بِهِۦ نَقْعًۭا ٤ فَوَسَطْنَ بِهِۦ جَمْعًا

Maksudnya: “Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya (1), Serta mencetuskan api dari telapak kakinya (2), Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh (3), Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu (4), Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh.”

(Surah al-‘Adiyat: 1-5)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

(Surah al-Anfal: 60)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, pada zaman Nabi SAW terdapatnya latihan lumba kuda. Imam al-Bukhari ada meriwayatkan hadith berkenaan hal ini dalam kitab sahihnya. Di antaranya, riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أَجْرَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا ضُمِّرَ مِنَ الخَيْلِ مِنَ الحَفْيَاءِ إِلَى ثَنِيَّةِ الوَدَاعِ، وَأَجْرَى مَا لَمْ يُضَمَّرْ مِنَ الثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِدِ بَنِي زُرَيْقٍ»، قَالَ ابْنُ عُمَرَ: وَكُنْتُ فِيمَنْ أَجْرَى، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، قَالَ: حَدَّثَنِي عُبَيْدُ اللَّهِ، قَالَ سُفْيَانُ: بَيْنَ الحَفْيَاءِ إِلَى ثَنِيَّةِ الوَدَاعِ خَمْسَةُ أَمْيَالٍ أَوْ سِتَّةٌ، وَبَيْنَ ثَنِيَّةَ إِلَى مَسْجِدِ بَنِي زُرَيْقٍ مِيلٌ

Maksudnya: “Nabi SAW memperlumbakan kuda yang dipersiapkan dengan kaedah idmar dari al-Hafya’ sehingga ke Thaniyyatul Wada‘. Manakala Baginda memperlumbakan kuda yang tidak dipersiapkan dengan kaedah idmar[1] dari Thaniyyah sehingga ke Masjid Bani Zuraiq.” Ibn Umar berkata: “Aku termasuk daripada peserta perlumbaan.” Abdullah berkata, Sufyan menyampaikan kepada kami, dia berkata: Ubaidullah menyampaikan kepadaku. Sufyan berkata, jarak antara Al-Hafya’ ke Thaniyyatul Wada’ adalah 5 atau 6 batu, dan jarak antara Thaniyyah ke Masjid bani Zuraiq adalah 1 batu.

Riwayat al-Bukhari (2868)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abdullah R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَابَقَ بَيْنَ الخَيْلِ الَّتِي لَمْ تُضَمَّرْ، وَكَانَ أَمَدُهَا مِنَ الثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِدِ بَنِي زُرَيْقٍ، وَأَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ فِيْمَن سَابَقَ بِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memperlumbakan antara kuda yang tidak diidmarkan. Adapun jaraknya dari Thaniyyah hingga ke Masjid Bani Zuraiq. Sesungguhnya Abdullah bin Umar termasuk dalam kalangan orang yang berlumba dengan tunggangan tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (2869)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

 

Nota kaki:

[1] Idmar adalah kaedah untuk menguatkan otot kuda dengan cara memberi kuda makan sebanyak-banyaknya sehingga tubuhnya menjadi besar. Kemudian kuda itu ditambat di dalam sebuah bilik dan diletakkan kain di atasnya, sehingga kuda itu berpeluh dengan begitu banyak. Setelah itu, air dan rumputnya beransur-ansur dikurangkan. Apabila peluh keluar, dagingnya akan menjadi ringan dan kuat untuk berlari. Orang Arab mengambil masa 40 hari untuk mempraktikkan kaedah ini.