#4763: Wanita dalam Peperangan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah terdapat nas wanita terbabit dalam peperangan dan membantu pada zaman Nabi SAW? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ٱنفِرُوا۟ خِفَافًۭا وَثِقَالًۭا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

(Surah al-Taubah: 41)

Al-Syaukani berkata: Yakni berangkatlah kamu sama ada dalam keadaan semangat mahupun tidak, miskin mahupun kaya, muda mahupun tua, berjalan kaki mahupun naik kuda, mempunyai tanggungan keluarga nafkah mahupun tidak. (Lihat Fath al-Qadir, 3/442)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, terdapat nas wanita terbabit dalam peperangan dan membantu pada zaman Nabi SAW. 

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada daripada al-Rubayyi‘ binti Mu‘awwiz, beliau berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَسْقِي وَنُدَاوِي الجَرْحَى، وَنَرُدُّ القَتْلَى إِلَى الـمَدِينَةِ

Maksudnya: “Kami (para wanita) dulu (ikut berjihad) bersama Nabi. Kami memberi minum dan merawat orang terluka dan membawa balik jasad mereka yang terbunuh Madinah.”

Riwayat al-Bukhari (2882)

Begitu juga apa yang disebut oleh Ibn Atiyyah R.Anha, beliau juga membantu tentera Islam pada masa peperangan Uhud.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku di Palestin khasnya di Gaza pada masa kini, marilah sama-sama kita berdoa kepada sahabat kita di sana agar diberi kemenangan, kekuatan dalam menghadapi musuh.

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)