#4765: Melukis Komik Sahabat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum melukis komik Sahabat Nabi SAW bagi tujuan dakwah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Para sahabat adalah pengganti Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah dan mereka merupakan sebaik-baik generasi yang telah dididik oleh Rasulullah saw. Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا

Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya.

(Surah al-Fath :29)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan:“Yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah merujuk kepada para sahabat dan Para Ulama yang mana Nabi saw menyebut: “Para sahabatku seperti bintang selagi mana kalian mengikuti mereka kalian akan mendapat petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Munir, 3/495)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tiada dalil yang khusus berkenaan isu ini. Namun begitu, terdapat beberapa fatwa dunia yang jelas akan isu ini, antaranya:

Fatwa Syeikh Hasanain Makhluf yang bertarikh 5 Mei 1950, menyatakan: “Haram hukumnya melukis gambar para sahabat kerana lukisan tersebut selama-lamanya tidak akan sama dengan yang asal. Bahkan boleh membawa kepada penipuan ke atas mereka baik dari segi lakonan dan sebagainya boleh menyebabkan orang lain memandang serong terhadap mereka.” (Lihat al-Fatawa al-Islamiyyah, 4/1297)

Syeikh ‘Atiyah Saqar yang merupakan bekas Pengerusi Lajnah Fatwa di al-Azhar al-Syarif menyatakan: “Demikian jugalah pengharaman meniru usul (nenek moyang) furu’ (anak cucu), isteri-isteri dan sahabat-sahabat Rasul. Adapun yang berkaitan dengan pengajaran yang diambil daripada kisah-kisah nabi, fatwa ini menyebutkan bagaimana mungkin kita mengambil pengajaran daripada lakonan seorang manusia biasa terhadap peribadi seorang nabi. Siapakah yang sanggup menerima lakonan seorang bodoh, kaki judi, pemabuk, pelanggan kedai arak dan persundalan? Merekakah yang melakonkan lakonan para nabi dan sahabat?” (Lihat Ahasin al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, 1/156-158).

Justeru, kami katakan tidak boleh melukis gambar Nabi dan Sahabat meskipun bagi tujuan dakwah dan seumpamanya. Hal ini kerana ia boleh mendatangkan fitnah dan dipandang serong akibat gambaran-gambaran yang dilakarkan. Kami syorkan jika mahu juga melukis komik sahabat, antara yang perlu diambil perhatian adalah:

  1. Lukisan yang dilakar mestilah dilakar secara tidak sempurna .
  2. Lukisan tersebut mesti tidak menampakkan rupa para sahabat (iiatu mukanya).
  3. Dialog dan jalan penceritaan mesti berpandukan rujukan yang sahih dan muktamad.Tidak boleh mereka-reka jalan cerita atau dialog yang boleh membawa kepada unsur penipuan.

 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)