#4766: Ahli Syurga dan Ahli Neraka

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana sifat ahli syurga dan ahli neraka dalam bahasa yang pendek berdasarkan nas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الْأَبْرَارَ لَفِي نَعِيمٍ (13) وَإِنَّ الْفُجَّارَ لَفِي جَحِيمٍ

Maksudnya: (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) – kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat; (13) Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.

(Surah al-Infitar: 13-14)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Yang dimaksudkan dengan orang-orang baik ialah mereka yang menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak hamba-Nya, yang selalu istiqamah dengan kebaikan dalam perbuatan hati mahupun anggota badan. Balasan mereka ialah kenikmatan hati, ruh dan badan di dunia, di alam barzakh dan di negeri yang abadi. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 332)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa sifat mereka seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW:

Daripada Harithah bin Wahb al-Khuza‘I R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ الجَنَّةِ؟ كُلُّ ضَعِيفٍ مُتَضَاعِفٍ، لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ. أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ النَّارِ؟ كُلُّ عُتُلٍّ جَوَّاظٍ مُسْتَكْبِرٍ

Maksudnya: “Mahukah kamu aku beritahu mengenai penghuni syurga? Iaitu setiap orang yang lemah lagi dipandang lemah, sekiranya dia bersumpah atas nama Allah (berdoa kepada-Nya), nescaya Allah akan mengabulkan permintaannya. Mahukah kamu aku beritahu kepada kamu semua tentang (sifat-sifat) ahli neraka? Iaitu setiap orang yang bersifat keras, kasar, lagi takbur.”

Riwayat al-Bukhari (6071)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”