#4767: Manaqib Sufyan bin Abdillah R.A

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami manaqib sahabat Nabi SAW yang bernama Sufyan bin Abdillah R.A?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Beliau digelar sebagai Abu Amrah Sufyan bin Abdullah bin Abi Rabi’ah bin al-Harith bin Malik bin Hutait (حُطَيْطِ) bin Jusyam al-Thaqafi al-Ta’ifi. Beliau telah memeluk Islam ketika meriwayatkan hadis istiqamah ini. Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa Sufyan bin Abdillah telah memeluk Islam bersama utusan dari bani Thaqif yang datang kepada Rasulullah SAW. Lalu beliau bertanya kepada Nabi SAW tentang sesuatu yang mesti dipegang teguh. Nabi SAW menjawab: “Katakanlah: Aku telah beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.”

Hadisnya juga terdapat di dalam al-Kutub al-Sittah. Imam Muslim di dalam sahihnya hanya meriwayatkan satu hadis sahaja daripada Rasulullah SAW melalui Sufyan bin Abdillah iaitu hadis ke-21 di dalam kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah ini. Di samping itu, hadis beliau diriwayatkan oleh imam-imam yang lain.

Daripada Abu Amru – atau digelar juga Abu ‘Amrah Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi R.A, katanya: “Aku berkata:

يَا رَسُوْلَ اللهِ! قُلْ لِي فِي الإسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ. قالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ.

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selainmu.” Sabda Baginda: Katakanlah ‘ آمَنْتُ بِالله ‘ (Aku beriman kepada Allah) kemudian istiqamahlah.

Riwayat Muslim (38), al-Baihaqi dalam al-Sunan (1/76), Ahmad dalam Musnadnya (5/371), dan al-Daraqutni dalam al-Sunan (3/45).

Saidina Umar telah melantiknya untuk menguruskan zakat, sedekah dan lain-lain lagi di Taif. Di dalam riwayat secara mursal oleh Ibn Abi Syaibah bahawa Nabi SAW melantiknya menjadi gabenor di Taif. Antara yang meriwayatkan daripadanya ialah anaknya Asim, Abdullah, al-Qamah, Amru, Abu al-Hakam dan ramai lagi. Abu al-Hasan al-Madini berkata: “Sufyan bin Abdullah telah menyertai peperangan Hunain dan saudaranya Uthman telah terbunuh dalam peperangan tersebut.”

Dikatakan beliau meninggal dunia antara 41 H ke 50 H tanpa dapat dipastikan dengan tepat. Tempat beliau meninggal dunia adalah di Ta’if.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)