#4771: Cara Rasulullah SAW Menyembunyikan Serangan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah Rasulullah SAW tatkala ingin memerangi musuh, Baginda cuba untuk menampakkan seolah-olah tidak ingin memeranginya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ٱنفِرُوا۟ خِفَافًۭا وَثِقَالًۭا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

(Surah al-Taubah: 41)

Kami nyatakan dalam buku kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW bahawa terdapat dua jenis peperangan pada zaman Nabi SAW.

  • Sariyyah: Peperangan yang tidak disertai oleh Rasulullah, tetapi Baginda hanya mengirimkan ekspedisi pasukan perang yang diketuai oleh salah seorang sahabat. Biasanya jumlah mereka kecil.

Para ulama berbeza pendapat mengenai bilangan sariyyah atau pasukan yang dihantar oleh Rasulullah SAW. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (8/154) menyatakan bahawa bilangan sariyyah menghampiri 70 kali. Dalam buku ini, kami telah menyebutkan sebanyak 68 sariyyah yang telah dihantar oleh Baginda SAW.

  • Ghazwah: Peperangan yang disertai dan dipimpin terus oleh Rasulullah SAW sendiri seperti Ghazwah Badar.

Para ulama berbeza pendapat mengenai bilangan ghazwah atau peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW. Ada yang berpendapat sebanyak 25 kali. Dikatakan juga sebanyak 27 kali dan ada juga yang berpendapat sebanyak 21 kali. Dalam buku ini, kami telah menyebutkan sebanyak 26 ghazwah yang disertai oleh Baginda SAW. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 445-446)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, Rasulullah SAW tatkala ingin memerangi musuh, Baginda cuba untuk menampakkan seolah-olah tidak ingin memeranginya.

Hal ini berdasarkan kepada hadith, riwayat daripada al-Zuhri, katanya, ‘Abd al-Rahman bin Abdullah bin Ka‘b bin Malik telah mengkhabarkan kepadaku katanya: Aku mendengar Ka‘b  bin Malik R.A berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَلَّمَا يُرِيدُ غَزْوَةً يَغْزُوهَا إِلَّا وَرَّى بِغَيْرِهَا، حَتَّى كَانَتْ غَزْوَةُ تَبُوكَ، فَغَزَاهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَرٍّ شَدِيدٍ، وَاسْتَقْبَلَ سَفَرًا بَعِيدًا وَمَفَازًا، وَاسْتَقْبَلَ غَزْوَ عَدُوٍّ كَثِيرٍ، فَجَلَّى لِلْمُسْلِمِينَ أَمْرَهُمْ، لِيَتَأَهَّبُوا أُهْبَةَ عَدُوِّهِمْ، وَأَخْبَرَهُمْ بِوَجْهِهِ الَّذِي يُرِيدُ

Maksudnya: “Biasanya Rasulullah SAW apabila Baginda ingin melakukan ghazwah (peperangan), Baginda menutupnya dengan perkara lain (yakni tidak akan menjelaskan destinasi secara terperinci); melainkan sedikit. Sehinggalah dalam peperangan Tabuk, di mana Rasulullah SAW menghadapinya ketika cuaca sangat panas, perjalanan sangat jauh lagi sulit, ditambah lagi musuh yang sangat ramai, maka Baginda menjelaskan urusan (peperangan) kepada kaum Muslimin dengan detil supaya mereka melakukan persiapan yang rapi untuk menghadapi musuh mereka, dan Baginda memberitahu mereka tentang tujuan yang Baginda inginkan (daripada peperangan tersebut).

Riwayat al-Bukhari (2948)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah (250)