#4772: Strategi Nabi ketika Berperang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah Rasulullah SAW jika tidak berperang pada waktu pagi, Baginda melewatkannya sehingga matahari tergelincir? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ حَرِّضِ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَى ٱلْقِتَالِ ۚ

Maksudnya: “Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang.”

(Surah al-Anfal: 65)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, doronglah dan paculah mereka untuk berperang dengan apa yang boleh menguatkan keazaman mereka dan mencetuskan semangat mereka, dengan memberikan anjuran dan janji pahala jihad dan memerangi musuh, serta memberikan ancaman dan janji dosa terhadap sebaliknya, menjelaskan keutamaan sabar dan keberanian, serta apa yang dihasilkannya dalam bentuk kebaikan dunia dan akhirat, menjelaskan bahaya sifat pengecut, dan bahawa ia adalah akhlak tercela yang menodai agama dan muru’ah, dan orang beriman lebih berhak untuk berani daripada orang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/325).

Sayyid Sabiq menyebutkan bahawa peperangan itu bukanlah usul penyebaran agama Islam, akan tetapi peperangan ini hanyalah suatu pengecualian yang diberikan, dan ianya terkeluar dari kaedah asal. Kaedah asal dalam Islam adalah kesejahteraan, perdamaian dan juga perjanjian. Dan tidak dihalalkan peperangan itu melainkan pada  keadaan:

  • Mempertahankan diri, keluarga, harta, dan negara dari serangan.
  • Mempertahankan dakwah ke jalan Allah SWT dari orang yang menghalang jalan dakwah ini, sama ada orang itu menghalang dengan cara menyeksa mereka yang berdakwah itu, atau menyekat orang dari mendengar dakwahnya, atau dengan cara menghalang pendakwah dari menyebarkan dakwahnya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 2/613)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, sekiranya Rasulullah SAW tidak berperang pada waktu pagi, Baginda akan melewatkannya sehingga matahari tergelincir.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Salim Abi An-Nadhr bekas hamba dan juga merupakan penulis bagi Umar bin ‘Ubaidullah dan berkata: Abdullah bin Abu Aufa R.A menulis surat kepadanya, maka aku (yakni Salim) membaca isi kandungannya:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَيَّامِهِ الَّتِي لَقِيَ فِيهَا، انْتَظَرَ حَتَّى مَالَتِ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW dalam salah satu masa-masa Baginda bertemu (musuh) padanya, Baginda menunggu sehingga matahari tergelincir.

Riwayat al-Bukhari (2965)

ثُمَّ قَامَ فِي النَّاسِ خَطِيبًا قَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، لاَ تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ العَدُوِّ، وَسَلُوا اللَّهَ العَافِيَةَ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوفِ. ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Kemudian Baginda SAW berdiri di hadapan orang ramai lalu berkhutbah dengan bersabda: ‘Wahai sekalian manusia, janganlah kamu mengharapkan bertemu musuh, mintalah keselamatan kepada Allah. Apabila kamu bertemu mereka, maka bersabarlah. Ketahuilah, sesungguhnya syurga berada di bawah bayang pedang-pedang.’ Kemudian Baginda SAW bersabda: “اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ»” (Maksudnya: Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”).

Riwayat al-Bukhari (2966)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah (250)