#4776: Hakikat Tawakkal

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa Rasulullah SAW memperumpamakan orang yang bertawakkal seperti burung?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan bertakwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu bertawakkal.”

(Surah al-Maidah: 11)

Dalam ayat tersebut Allah SWT menyebut bahawa tawakkal dengan takwa ialah dengan melakukan perkara yang diperintahkan, kerana bertawakkal sahaja tanpa melakukan perkara yang diperintahkan adalah sebuah ketidakmampuan walaupun seakan-akan seperti tawakkal. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya seorang hamba menjadikan rasa tawakkalnya itu sebagai ketidakmampuan dan menjadikan ketidakmampuannya itu sebagai bentuk rasa tawakkal. Yang sebenarnya adalah ia perlu menjadikan tawakkalnya itu didahului dengan daya dan usaha, ini kerana tawakkal tanpa usaha tidak akan tercapai. (Lihat Fatwa al-Lajnah al-Daimah. Fatwa (9580)).

Allah SWT berfirman:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, Dia akan memberikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, Dia akan memberikan kecukupan baginya…”

(Surah al-Talaq: 2-3)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Umar Bin Khattab RA daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوْحُ بِطَانًا

Maksudnya: “Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana memberi rezeki kepada burung. Keluar di pagi hari dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.”

Riwayat Ahmad (4164) (370) (99), al-Tirmizi (2498) (2372), al-Nasaie (10488), Ibn Majah (4198), Ibn Hibban (730), dan al-Hakim (8008). Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan sahih

Hakikat tawakkal adalah keyakinan hati yang benar kepada Allah SWT dalam mendapatkan kemaslahatan (kebaikan) dan menghindarkan mudharat (bahaya), sama ada berkenaan dengan urusan dunia mahupun akhirat.

Adapun makna hadis tersebut adalah, bahawa jika manusia itu menanamkan rasa tawakkal kepada Allah dalam hatinya serta percaya sepenuhnya kepada-Nya untuk mendapatkan sesuatu yang bermanfaat bagi mereka atau menghindarkan sesuatu yang berbahaya serta melakukan usaha yang bermanfaat, maka Allah akan menurunkan rezeki kepada mereka walaupun dengan usaha yang sangat mudah sebagaimana Allah menurunkan rezeki kepada burung-burung yang usahanya hanya keluar di waktu pagi dan kembali di waktu petang, dan itu adalah salah satu cara mencari rezeki, walaupun hanya dengan usaha yang sederhana.

Mewujudkan rasa tawakkal itu tidak menafikan taqdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan yang sesuai dengan sunnatullah yang berlaku terhadap makhluk-Nya, ini kerana sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kita untuk berusaha di samping itu juga memerintahkan untuk bertawakkal. Oleh yang demikian, berusaha melakukan urusan dengan anggota badan adalah bentuk ketaatan dan bertawakkal kepada Allah dengan hati adalah bentuk keimanan kepada-Nya. (Lihat al-Kafi, hlm. 525-527)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”