#4777: Membawa al-Quran ke Negeri Musuh Mengikut Pendapat Imam al-Bukhari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum membawa al-Quran atau mushaf ke negeri musuh mengikut pendapat Imam al-Bukhari? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan takrifan al-Quran terlebih dahulu. Secara ringkasnya, al-Quran ialah kalam Tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I‘jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2).

Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni pula mendefinisikan, al-Quran ialah kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8).

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka‘ab al-Qurazi bahawa dia menyebut: Aku mendengar daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya:Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Bukhari berpendapat bahawa bermusafir dengan membawa mashaf al-Quran ke negara musuh adalah makruh.

Ini jelas sebagaimana penamaan salah satu bab dalam kitab sahihnya, “بَابُ كَرَاهَةِ السَّفَرِ بِالْمَصَاحِفِ إِلَى أَرْضِ العَدُوِّ” (Bab: Makruh Bermusafir dengan Membawa Mushaf-mushaf ke Negara Musuh). Kemudian, Imam al-Bukhari menyebutkan:

وَكَذَلِكَ يُرْوَى عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ بِشْرٍ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ، عَنْ نَافِعٍ، عَنْ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَتَابَعَهُ ابْنُ إِسْحَاقَ، عَنْ نَافِعٍ، عَنْ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَدْ سَافَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابُهُ فِي أَرْضِ العَدُوِّ وَهُمْ يُعَلِّمُونَ القُرْآنَ

Maksudnya: “Demikianlah pula diriwayatkan daripada Muhammad bin Bisyr, daripada ‘Ubaidullah, daripada Nafi‘, daripada Ibn Umar, daripada Nabi SAW, dan riwayat ‘Ubaidullah telah dimutaba ‘ahkan oleh Ibn Ishaq, daripada Nafi‘ daripada Ibn Umar, daripada Nabi SAW. Sesungguhnya Nabi SAW dan para sahabatnya telah bermusafir ke negeri musuh dalam keadaan mereka mengajar al-Quran.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 4/56).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa:

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُسَافَرَ بِالقُرْآنِ إِلَى أَرْضِ العَدُوِّ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang daripada bermusafir dengan al-Quran ke negeri musuh.”

Riwayat al-Bukhari (2990) dan Muslim (1869)

Imam al-Nawawi menyebutkan, para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) berpendapat, orang kafir tidak dilarang daripada mendengar bacaan al-Quran, sebaliknya hanya dilarang daripada memegang mashaf al-Quran. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/85).

Di antara sebab Rasulullah SAW melarang seseorang bermusafir dengan membawa al-Quran bersamanya ke negeri atau negara musuh Islam kerana dikhuatiri mashaf al-Quran akan dihina atau direndah-rendahkan, apatah lagi jika ia disentuh oleh orang kafir. Larangan untuk menyentuh atau memegangnya itu meliputi orang yang berhadas sama ada hadas kecil atau hadas besar. Bahkan orang kafir terhimpun padanya kedua-dua jenis hadas. Hal ini kerana jika mereka berada dalam keadaan janabah, mereka tidak mandi wajib daripadanya dan sekalipun mereka melakukan mandi wajib, ia adalah tidak sah.

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #3219: Orang Kafir Memegang/Menyentuh Mashaf al-Quran.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/3219-orang-kafir-memegang-menyentuh-mashaf-al-quran/. Diakses pada 30 November 2023.