#4783: Meletakkan Syarat kepada Bakal Suami Agar Tidak Berpoligami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Baru-baru ini, banyak kes berkenaan poligami ini di media sosial sehingga ramai yang belum berkahwin ini, takut untuk mendirikan rumahtangga. Soalan saya, adakah boleh bagi saya meletakkan syarat dalam perkahwinan agar suami tidak berpoligami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: “Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Pada asasnya, hukum berpoligami itu adalah disyariatkan berdasarkan nas al-Qur’an, hadis dan ijmak ulama. Para ulama salaf dan khalaf telah berijmak bahawa hukum asal berpoligami itu harus dan tidak boleh melebihi empat orang isteri. Antara ulama yang menukilkan ijmak adalah Ibn Kathir (lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/451), al-Qurtubi (lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 5/17), Ibn al-Munzir (lihat al-Ijma’, 80), al-Syanqiti (lihat Adwa’ al-Bayan, 1/223), al-Sa’di (lihat Taisir al-Karim, 1/164) dan selain mereka.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum asal bagi berpoligami adalah diharuskan dengan syarat suami mampu memberi nafkah dan berlaku adil terhadap isteri-isteri. Adil dalam aspek nafkah zahir dan batin, kasih sayang, agihan masa, perhatian serta perkara lain yang sepatutnya menjadi hak bahagian setiap isteri dan anak. (Lihat Makanatu al-Mar’ah fi al-Quran al-Karim wa al-Sunnah al-Sahihah, hlm. 174).

Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari menyatakan syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri. (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/265; Tuhfah al-Muhtaj, 7/312 dan 387; Mughni al-Muhtaj, 4/377 dan Al-Ghurar al-Bahiyyah, 4/186)

Begitu juga, dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah. (Lihat Al-Fiqh al-Manhaji, 4/83-83)

Justeru, kami berpandangan harus meletakkan syarat sebegitu sebelum akad seperti suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.

Meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan. Manakala, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihati kepada pasangan yang ingin berpoligami antaranya:

  • Kepada suami, lihatlah kemampuan nafkah zahir dan batin agar ianya tidak menzalimi hak isteri-isterinya di kemudian hari.
  • Kepada suami, berterus-teranglah kepada isteri, dan saya yakin ianya mampu diungkai dengan sebaik mungkin.
  • Hendaklah berlaku adil dan janganlah membawa kepada banyak kelemahan sehingga ia menjadi hujah kepada golongan tertentu dalam hal poligami.
  • Kepada isteri, hendaklah berfikiran dengan waras dan bincang dengan sebaik mungkin dengan suaminya tanpa dikuasai oleh emosi dan perasaan yang tidak baik.
  • Begitu juga, kepada isteri, wajib yakin dan percaya bahawa poligami bukanlah satu kesalahan tetapi pensyariatan yang telah diizinkan oleh Syarak dengan syarat-syaratnya. Janganlah dengan sebab emosi kita telah menafikan hikmah tasyri’ berkenaan dengan poligami.
  • Binalah sebuah kehidupan dengan semangat yang kukuh untuk menjadi suami dan isteri yang benar-benar melaksanakan tugas masing-masing dengan sebaik mungkin.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam