#4784: Teori Darwin dan Sudut Pandang Syara‘

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya telah membaca artikel ustaz tentang Darwinisme. Cuma persoalan saya, adakah terdapat kritikan tentang teori ini dalam nas-nas syara‘?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Teori itu menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah pendapat bersifat pandangan, yang tidak dapat dibuktikan dengan kukuhnya, yang mana dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara dan lain-lain.

Sepertimana yang tersebar tentang teori evolusi ini, ia terdedah kepada kebenaran dan penipuan. Ulama’ membezakannya dengan hakikat dan juga ketetapan undang-undang, kerana kedua-dua ini tidak terdedah penipuan dan kebatilan. Seorang muslim itu apabila mengkaji dengan lebih mendalam tentang kebenaran teori ini, kemudian membandingkannya dengan sudut pandang yang terdapat dalam nas-nas syara‘, maka jelas sekali bertentangan dengan hakikat kewujudan manusia sejak azali.

Sesungguhnya Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Amat Mendalam Pengetahuan-Nya, ilmu-Nya meliputi segala sesuatu dan pastinya tidak setara dibandingkan ilmu manusia dengan ilmu-Nya. Allah SWT berfirman:

وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah al-Baqarah: 216)

Bagaimana mungkin kita menerima teori Darwin yang batil ini sedangkan Allah SWT yang menciptakan sekalian alam, dan sungguh mengejutkan jika sang Pencipta tidak mengetahui tentang penciptaan makhuknya. Sedangkan Allah SWT berfirman:

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلْخَبِيرُ

Maksudnya: “Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!”

(Surah al-Mulk: 14)

Dengan mendalami al-Quran, kita pastinya akan mempersoalkan teori Darwin ini, kerana bagaimana mungkin seseorang manusia boleh bercakap tentang evolusi penciptaannya yang jauh darinya dan tidak pernah disaksikannya sendiri? Tidakkah kita merenung firman Allah SWT:

مَّآ أَشْهَدتُّهُمْ خَلْقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَا خَلْقَ أَنفُسِهِمْ وَمَا كُنتُ مُتَّخِذَ ٱلْمُضِلِّينَ عَضُدًۭا

Maksudnya: “Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.”

(Surah al-Kahf: 51)

Bahkan apa yang dinyatakan dalam al-Quran amatlah bertentangan dengan teori Darwin ini. Allah SWT mengkhabarkan kepada kita tentang penciptaan manusia sebagai satu makhluk yang khusus dan sempurna, bukannya berevolusi dari binatang yang kurang akalnya. Ini sebagaimana dalam firman-Nya yang ditujukan kepada para malaikat:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌۭ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةًۭ ۖ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 30)

Tidakkah menghairankan jika khalifah itu sebenarnya berevolusi dari seekor binatang yang tidak berakal dan tidak berkemampuan untuk berfikir. Sedangkan Allah SWT nyatakan dengan jelas bahawa manusia pertama iaitu Nabi Adam A.S itu asal penciptaannya adalah dari tanah, kemudian anak keturunannya berasal dari benih air mani, sebagaimana firman-Nya:

فَإِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن تُرَابٍۢ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍۢ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍۢ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍۢ مُّخَلَّقَةٍۢ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍۢ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami).”

(Surah al-Hajj: 5)

Diriwayatkan juga daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ آدَمَ مِنْ قَبْضَةٍ قَبَضَهَا مِنْ جَمِيعِ الأَرْضِ فَجَاءَ بَنُو آدَمَ عَلَى قَدْرِ الأَرْضِ جَاءَ مِنْهُمُ الأَحْمَرُ وَالأَبْيَضُ وَالأَسْوَدُ وَبَيْنَ ذَلِكَ وَالسَّهْلُ وَالْحَزْنُ وَالْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ

Maksudnya: “Allah menciptakan Adam dari segenggam tanah dari semua jenis tanah. Kemudian keturunannya datang bersesuaian dengan unsur tanahnya. Ada di antara mereka yang berkulit merah, putih, hitam, dan antara warna-warna itu. Ada yang lembut dan ada yang kasar, ada yang buruk dan ada yang baik.”

Riwayat Abu Dawud (4693), al-Tirmizi (2955) dan Ahmad (4693)

Kemudian, Allah SWT meniupkan roh pada tanah yang dibentuk itu, lalu padanya terdapat nyawa kehidupan, mampu mendengar, melihat, bercakap, berfikir dan adanya kesedaran.

فَإِذَا سَوَّيْتُهُۥ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُوا۟ لَهُۥ سَـٰجِدِينَ

Maksudnya: “Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”

(Surah Sad: 72)

Sehinggakan tempat tinggal Nabi Adam A.S sebagai manusia pertama juga telah lama Allah SWT sebutkan di dalam al-Quran. Firman-Nya:

وَقُلْنَا يَـٰٓـَٔادَمُ ٱسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ ٱلْجَنَّةَ

Maksudnya: “Dan kami berfirman: ‘Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga’.”

(Surah al-Baqarah: 35)

Dan sejurus penciptaan Nabi Adam A.S, Allah SWT ajarkan kepadanya bercakap dan mengetahui segala nama. Ini jelas dalam firman-Nya:

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلْأَسْمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسْمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ (٣١) قَالُوا۟ سُبْحَـٰنَكَ لَا عِلْمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْحَكِيمُ (٣٢) قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئْهُم بِأَسْمَآئِهِمْ ۖ

Maksudnya: “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: ‘Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar’. Malaikat itu menjawab: ‘Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana’. Allah berfirman: ‘Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka’.”

(Surah al-Baqarah: 31-33)

Beginilah yang dikisahkan oleh al-Quran tentang asal-usul penciptaan manusia pertama, bapa kepada sekalian manusia, kemudian dari Baginda A.S diciptakan pasangannya, dan dari mereka juga berkembang biaknya manusia sehingga ke hari ini. Sungguh, fakta-fakta ini semua telah Allah SWT jelaskan sejak sekian lamanya. Firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.”

(Surah al-Nisa’: 1)

Dan secara faktanya juga, tertolaklah dakwaan dalam teori Darwin ini yang mengatakan manusia itu bermulanya dari serba kekurangan kemudian menjadi makin sempurna, dari hominid kepada homo sapiens melalui evolusi. Bahkan sebaliknya, Nabi Adam A.S jauh lebih besar saiznya dari manusia moden kini. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ وَطُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا، ثُمَّ قَالَ: اذْهَبْ فَسَلِّمْ عَلَى أُولَئِكَ مِنَ المَلاَئِكَةِ، فَاسْتَمِعْ مَا يُحَيُّونَكَ، تَحِيَّتُكَ وَتَحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ، فَقَالَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ، فَقَالُوا: السَّلاَمُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ، فَزَادُوهُ: وَرَحْمَةُ اللَّهِ، فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ آدَمَ، فَلَمْ يَزَلِ الخَلْقُ يَنْقُصُ حَتَّى الآنَ

Maksudnya: “Allah menciptakan Adam dan tingginya ialah enam puluh hasta. Kemudian Allah berfirman: ‘Pergilah dan ucapkan salam kepada para malaikat itu, lalu dengarkan penghormatan yang mereka ucapkan kepadamu, ia adalah salam untukmu dan salam bagi keturunanmu.’ Baginda bersabda: ‘السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ’ (Moga kesejahteraan ke atas kamu). Mereka menjawab: ‘السَّلاَمُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّه’ (Semoga kesejahteraan dan rahmat Allah ke atasmu). Mereka menambah kalimah وَرَحْمَةُ اللَّهِ padanya. Setiap orang yang masuk syurga sama seperti bentuk tubuh Adam, dan berlarutan ketinggian manusia semakin berkurang sehinggalah sekarang.”

Riwayat al-Bukhari (3326) dan Muslim (2841)

Beginilah terbatal dan tertolaknya teori Darwin dengan sudut pandang al-Quran, yang juga turut dikuatkan dengan al-Sunnah tentang penciptaan manusia pertama di muka bumi. Meskipun perbincangan tentang kritikan ke atas teori ini pada hakikatnya amat panjang, terutamanya dengan kajian-kajian sains moden yang lebih terperinci, tapi cukuplah firman Allah SWT dan sabda Rasul-Nya bagi seorang muslim untuk menolak kepercayaan batil dan rekaan golongan yang jauh dari kebenaran ini.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Wallahu a‘lam